RM27,490 lesap ditipu pegawai LHDN, polis palsu

Mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN Cyberjaya berhubung tunggakan cukai. - Foto 123RF Gambar kecil: Mohd Wazir
Mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN Cyberjaya berhubung tunggakan cukai. - Foto 123RF Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang penjawat awam membuat laporan polis semalam mendakwa ditipu individu menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis sehingga kerugian lebih RM27,000.

Wanita berusia 36 itu diperdaya kononnya dia dikehendaki polis untuk siasatan kerana bersubahat dengan seorang suspek kes pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.

Mangsa juga kononnya diburu LHDN kerana mempunyai tunggakan cukai lebih RM32,000 atas nama sebuah syarikat di Ipoh, Perak yang didaftarkan atas namanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusuf berkata, bagi menyelesaikan kes itu, mangsa diarah memindahkan wang dalam akaun banknya ke sebuah akaun lain yang diberikan suspek kononnya bagi tujuan siasatan.

Menurutnya, penipuan ke atas mangsa itu bermula 22 Februari lalu selepas menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN Cyberjaya berhubung tunggakan cukai itu.

"Selepas mangsa menafikan kaitannya dengan syarikat yang dimaksudkan, mangsa dirujuk kepada pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bagi tujuan semakan dan siasatan.

"Hasil semakan, mangsa dikatakan mempunyai kaitan dengan seorang lelaki yang terlibat dalam kes pengedaran dadah dan pengubahan wang haram," katanya.

Mohd Wazir berkata, pegawai polis berpangkat sarjan itu berjanji untuk membantu menyelesaikan kes mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa diminta melaporkan diri setiap hari kepada sarjan berkenaan melalui satu nombor telefon yang diberikan sehingga kes itu selesai dan juga diarah membuat pindahan wang bagi tujuan siasatan.

"Mangsa yang bimbang dikenakan hukuman akur dengan arahan itu apabila membuat beberapa transaksi bayaran dengan jumlah keseluruhan RM27,490," katanya.

Beliau berkata, selepas membuat bayaran seperti yang diarahkan, mangsa mula curiga dan syak telah ditipu lalu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Temerloh semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi mengesan suspek terlibat," katanya.