X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan baharu Perak tak lama bertahan: Aziz Bari

Aziz Bari
A
A

IPOH - Kerajaan Perak yang baharu dibentuk melalui gabungan Perikatan Nasional dikhuatiri tidak dapat bertahan lama.

Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari berkata, walaupun kerajaan yang disifatkan sebagai kerajaan pintu belakang itu sah dari segi undang-undang, namun dari segi politiknya, ia tidak mendapat mandat rakyat.

Menurutnya, kerajaan Perak yang baharu ini juga tidak mempunyai manifesto sendiri sekali gus tiada panduan untuk mentadbir mengikut acuan tertentu.

"PH akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang sebab kita menjangka bahawa kita mempunyai alasan atau hujah moral kuat menjadi kerajaan dan kita yakin kerajaan yang ada ini takkan lama," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

Mengulas pelantikan kembali Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak, Abdul Aziz berkata, jumlah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bukanlah satu-satunya kriteria utama dalam pelantikan Menteri Besar Perak dan berkemungkinan ia mengambil kira situasi politik di peringkat Pusat yang memerlukan seseorang yang pernah menjadi Menteri Besar.

Apa yang penting katanya, ia merupakan prerogatif Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan baginda juga sudah tentu mempunyai pelbagai pertimbangan sebelum pelantikan tersebut dibuat bagi memastikan kestabilan politik, selain melihat jumlah kerusi DUN majoriti yang mungkin tidak mampu bertahan lama.

Abdul Aziz berkata, walaupun UMNO memiliki kerusi DUN melebihi parti itu, namun belum tentu pelantikan Menteri Besar dari UMNO boleh menjamin kerajaan Perak kekal stabil.

"Dalam hal ini, saya fikir mereka yang lari daripada PH menyertai Perikatan Nasional adalah mereka yang dianggap penting untuk memastikan bahawa kerajaan negeri yang ada sekarang ini kekal ataupun dapat mengekalkan majoriti ini.

"Jadi di situ mungkin pertimbangan yang diambil kira dalam meletakkan Ahmad Faizal dilantik sebagai Menteri Besar Perak," katanya.

Semalam, Ahmad Faizal mengakhiri teka-teki siapa Menteri Besar Perak yang baharu selepas gabungan baharu itu diumumkan pada 9 Mac lalu.

Sebelum itu, ketua-ketua parti di dalam Perikatan Nasional Perak bersama-sama menghadap Sultan Nazrin buat kali kedua bagi mempersembahkan nama calon menteri besar daripada parti masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN Ahmad Faizal dilantik semula Menteri Besar Perak


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!