Remaja tular tunggang motosikal lawan arus serah diri kepada polis

ALOR SETAR – Seorang remaja perempuan yang tular dalam video selepas menunggang motosikal secara melawan arus di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Hutan Kampung di sini akhirnya tampil menyerah diri kepada pihak polis pada malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, remaja tersebut hadir ke Balai Polis Trafik Daerah Kota Setar kira-kira jam 9 malam selepas video berdurasi 23 saat yang memaparkan tindakannya menjadi perhatian ramai di media sosial.
“Remaja terbabit mendakwa tersilap arah ketika dalam perjalanan pulang ke Pendang selepas bergantung kepada aplikasi navigasi di telefon bimbitnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada 4 Julai lalu, tular satu video di laman sosial facebook memaparkan tindakan seorang penunggang motosikal menunggang secara melawan arus dan telah mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.
Menurutnya, polis turut merampas motosikal yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Remaja itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar bagi permohonan tahanan reman untuk membantu siasatan,” ujarnya.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.
Siti Nor Salawati turut mengingatkan orang ramai agar tidak memandang ringan aspek keselamatan jalan raya dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas.
“Tindakan menunggang secara melawan arus bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

