Pengantin baharu maut kemalangan motosikal berkuasa tinggi

SETIU - [DIKEMAS KINI] Seorang pengantin baharu maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 79, Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu berhampiran Bukit Grebar di sini pada pagi Rabu.
Mangsa, Wan Hasbullah Wan Abdul Halim, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas motosikal jenis Kawasaki Z1000 yang ditunggang merempuh sebuah kereta yang sedang membelok ke kanan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.40 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju ke Besut.
"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu sedang membelok ke simpang kanan selepas memberi isyarat dan motosikal yang datang dari arah belakang cuba memotong namun gagal.
"Disebabkan jarak terlalu dekat, motosikal mangsa terlanggar pintu bahagian pemandu sebelum terjatuh dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan," katanya pada Rabu.

Difahamkan, mangsa baru melangsungkan perkahwinan empat hari lalu.
Mohd Zain berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut manakala pemandu Proton Iswara yang mengalami luka di bahagian kepala turut menerima rawatan di hospital sama.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
