Universiti benteng pengaruh ekstremis, militan - Dekan

PATTANI - Universiti memainkan peranan penting sebagai tempat selamat selain membentuk generasi bebas daripada pengaruh ekstremis atau militan.
Dekan Fakulti Sains Islamik, Prince of Songkla University, Prof Dr Suthisak Duereh berkata, sebagai institusi pendidikan, pihaknya sedaya upaya berusaha memastikan pelbagai pandangan negatif bebas dan menjadi neutral.
Katanya, dalam aspek media sosial termasuk kecerdasan buatan (AI), terdapat maklumat tepat dan sebaliknya.
"Sebagai orang akademik, kita perlu berpegang teguh kepada pelajaran kerana pelajaran tidak menipu. Mereka yang malas hendak membaca lebih kepada melihat AI hingga timbulnya maklumat palsu.
"Kita perlu tegakkan perkara betul..perlu bijak menilai mana yang betul atau tidak. Pensyarah juga perlu mengetahui isu ini," katanya dalam temu bual bersama Sinar Harian di sini.

Beliau berkata, terdapat pelajar yang terkesan dengan insiden serangan keganasan kemungkinan hingga melibatkan kematian ahli keluarga.
Jelasnya, pihak universiti sekali gus melaksanakan pelbagai pengisian program bagi mengatasi pelajar yang terkesan dalam insiden tersebut.
"Pihak universiti menciptakan pelbagai program agar mereka ini tidak berpihak dengan mana-mana individu khususnya elemen ekstremisme dan tidak mengalami kemurungan.
"Antara aktiviti dilaksanakan ialah lawatan ke rumah serta pengajian al-Quran. Bahkan ada antara pelajar ini terlibat dalam program usaha membantu penduduk setempat," ujarnya.
Kata beliau, perbezaan pendapat itu memang wujud, tetapi berpegang kepada prinsip kebebasan bersuara dan keluarkan idea, namun perlu ada batas di dalam undang-undang.
"Matlamat asas penubuhan fakulti ini ialah untuk memberi pelajaran yang betul kepada pelajar tentang Islam dan masyarakat," ujarnya.
"Sebagai fakulti Islam, kita mempunyai matlamat mahukan kemamanan, tidak dinafikan percanggahan ini wujud, tapi kita perlu cari titik penyudahan dan kesamaan menuju keamanan.
"Islam ialah keamanan. Konflik ialah proses sosial, kita perlu dengar, bercakap dan sehingga kini kita cuba untuk mencapai keamanan. Tapi bagaimana hendak keamanan? Kita adakan dialog dan perbincangan," ujarnya yang turut memaklumkan universiti juga melibatkan pelajar bukan Islam.

Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Pendidikan Kanak-Kanak, Wardina Usman, 23, berkata, keadaan pelajar sentiasa dalam keadaan selamat.
Ujarnya, universiti ialah tempat untuk semua dan diharap semua pihak saling memahami antara satu sama lain.
"Ini bagi mewujudkan kedamaian, kita perlu tolong-menolong agar tidak berpecah-belah," kata gadis berasal dari Sungai Golok.
Menyokong bahawa universiti sebagai tempat selamat, Presiden Jawatankuasa Pemandu Keamaan Tempatan, Dr Dunyarat Booyoosoh berkata,
Katanya, badan bukan kerajaan (NGO) ini digabungkan daripada sembilan badan dengan penglibatan kira-kira 200 komuniti.
"Tugas kami beritahu masyarakat apa yang berlaku dan hasil daripada rundingan.
"Secara peribadi, saya sokong bahawa institusi pendidikan sebagai tempat selamat. Tapi kami lihat bukan setakat itu sahaja, ia perlu diperbesarkan lagi kepada semua masyarakat," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
