Mayat lelaki ditinggal di HSA, polis siasat insiden tembak di stesen minyak

JOHOR BAHRU - Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tembak yang berlaku di kawasan sebuah stesen minyak di Gelang Patah, Iskandar Puteri selain penemuan mayat seorang lelaki yang ditinggalkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada Khamis.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 1.40 pagi berhubung penemuan mayat seorang lelaki dengan beberapa kesan tembakan di bahagian badan yang ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri di HSA.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan hospital menunjukkan mangsa ditinggalkan oleh dua individu yang menaiki sebuah kereta berwarna gelap.
“Semakan cap jari mendapati mangsa merupakan seorang lelaki berusia 42 tahun berasal dari Sungai Petani, Kedah yang mempunyai empat rekod jenayah lampau.
"Hasil bedah siasat oleh pegawai perubatan mengesahkan punca kematian adalah 'multiple gunshot wounds to the chest and abdomen'," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Kumar, siasatan awal polis mendapati sebelum itu kira-kira jam 12.12 tengah malam pada hari sama, berlaku insiden serangan dipercayai bermotifkan samun di kawasan stesen minyak di Gelang Patah.
“Serangan melibatkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang menyerang satu lagi kumpulan lelaki yang memiliki pistol hingga menyebabkan beberapa das tembakan dilepaskan.
"Bertindak atas maklumat, kira-kira jam 7 malam pada hari sama, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri telah menahan tiga lelaki termasuk seorang warga India berusia antara 30 hingga 40 tahun di kawasan Dang Wangi, Kuala Lumpur.
“Turut dirampas pucuk pistol jenis Glock 19, buku lesen pemilikan senjata dan peluru, kelopak peluru berisi enam butir peluru bersaiz 9mm, sebuah kereta Honda Accord berwarna hitam serta kelongsong peluru,” katanya.
Beliau berkata, salah seorang suspek yang ditahan bekerja sebagai pengawal peribadi dan memiliki lesen senjata, namun siasatan lanjut akan dijalankan berkaitan status pemilikan itu.
“Ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari bermula 4 hingga 10 Julai ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata dalam rusuhan dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960 kerana melepaskan tembakan bukan di padang tembak,” katanya.
Tambahnya, siasatan masih diteruskan bagi mengesan beberapa lagi suspek yang masih bebas serta mengenal pasti kaitan mereka dengan si mati dan insiden berkenaan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan kenyataan yang boleh mengganggu siasatan serta menimbulkan kegusaran awam.
“Polis Johor memberi jaminan insiden ini adalah kes terpencil dan tiada kaitan dengan isu keselamatan atau ancaman kepada negeri ini.
“Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh disalurkan ke Hotline Polis Johor di talian 019-2792095 atau Bilik Gerakan di 07-2212999,” katanya.
Sebelum itu, tular video berdurasi satu minit 57 saat memaparkan sebuah kereta berwarna perak menghampiri kereta berwarna hitam di sebuah stesen minyak dengan terdapat beberapa pelanggan stesen tersebut.
Beberapa lelaki bersenjatakan parang turun dari kereta dan menyerang beberapa lelaki di dalam kereta berwarna hitam.
Kemudian beberapa lelaki keluar dari kereta hitam dengan salah seorang daripada mereka dilihat bersenjatakan pistol sebelum kumpulan menaiki kereta berwarna perak itu kemudian beredar dari lokasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!