Trump namakan pempengaruh 'Alpha Male', Nick Adams sebagai Duta ke Malaysia

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah mencalonkan seorang pempengaruh konservatif kontroversi, Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia mencetuskan perdebatan hangat berikutan sejarah kenyataannya yang bersifat Islamofobia dan gaya hidup yang digambarkan sebagai melampau.
Adams, seorang rakyat kelahiran Australia yang menjadi warganegara Amerika pada 2021 terkenal dengan persona 'alpha male' yang mengangkat simbol maskuliniti seperti makan stik, kerap ke restoran Hooters dan mempersendakan pemimpin politik lawan.
Beliau yang merupakan penyokong tegar Trump sejak awal telah mengumpul jutaan pengikut di media sosial menerusi video dan hantaran yang mempromosikan gaya hidup macho serta ideologi konservatif sayap kanan.
Pencalonannya sebagai duta ke Malaysia sebuah negara majoriti Muslim dengan lebih 35 juta penduduk dikritik kerana sejarah kenyataannya yang menghina Islam termasuk menuduh pihak lawan Trump menyokong 'ajaran Islam di sekolah-sekolah' serta dakwaan negatif terhadap komuniti Muslim.
Namun dalam video terbaharunya yang dikongsi di media sosial selepas pencalonan diumumkan, Adams tampil lebih bersahaja dan berterima kasih kepada Trump dengan berkata: "Dalam Amerika pimpinan anda, semua impian menjadi kenyataan."
Meskipun pernah membuat kenyataan menyokong komuniti Muslim pro-Trump dalam kempen Presiden 2024, pemerhati berpendapat langkah itu lebih bersifat strategi untuk memecahkan pengundi Demokrat berhubung isu perang Gaza.
Adams juga pernah menulis buku bertajuk Alpha Kings yang mempromosikan ideologi lelaki dominan. Dalam buku itu, Trump sendiri menulis kata pengantar dengan memuji Adams sebagai 'salah seorang penulis dan penceramah kegemarannya'.
Terdahulu, Adams pernah menjadi ahli politik tempatan di Australia mewakili Parti Liberal, namun disingkirkan selepas didapati berkelakuan yang boleh mencemarkan reputasi parti.
Antara kenyataan viralnya termasuk cadangan untuk mengetuai 'Pasukan Petugas Presiden bagi Memelihara Hooters' selepas restoran berkenaan dilaporkan menghadapi muflis, yang menurutnya berpunca daripada 'Bidenflasi dan dasar woke Demokrat'.
Setakat ini, pencalonan Adams masih menunggu kelulusan Senat AS. Namun ramai pihak termasuk masyarakat Muslim di Amerika dan pemerhati antarabangsa mempersoalkan kewajaran perlantikan tersebut memandangkan sensitiviti hubungan diplomatik antara AS dan Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

