Feri karam Bali: Lelaki rakyat Malaysia disahkan meninggal dunia

JAKARTA – [DIKEMAS KINI] Polis Indonesia mengesahkan seorang rakyat Malaysia antara mangsa tragedi feri KMP Tunu Pratama Jaya yang karam di Selat Bali pada 2 Julai lalu.
Menurut laporan Antara News, pasukan Pengenalpastian Mangsa Bencana (DVI) Polis Indonesia berjaya mengenal pasti tiga daripada empat mayat yang ditemukan setakat ini, termasuk seorang lelaki Malaysia berusia 58 tahun, dikenali sebagai Fauzey Awang.
Ketua Subdirektorat Forensik Polis Jawa Timur, Asisten Komisioner Adam Bimantoro berkata, pengesahan dibuat berdasarkan data perubatan dan barang peribadi seperti dompet serta kad pengenalan milik mangsa.
“Pengecaman dilakukan menerusi pemeriksaan perubatan serta barangan milik mangsa,” katanya dalam sidang media di Hospital Umum Daerah Blambangan, Banyuwangi pada Khamis.
Dua lagi mangsa yang dikenal pasti ialah Noval Hardiansyah, 15, dari wilayah Banyuwangi dan Sofyan Wibowo, 18, dari daerah Susukan, Banjarnegara, Jawa Tengah. Identiti Sofyan disahkan melalui rekod pergigian dan barangan peribadi.
Sementara itu, satu lagi mayat mangsa belum dikenal pasti. Mangsa merupakan seorang wanita yang ditemui berpakaian seluar pendek denim biru di Pantai Plengkung dalam kawasan Taman Negara Alas Purwo di daerah Tegaldlimo, Banyuwangi pada Khamis.
Setakat malam Khamis, pasukan mencari dan menyelamat serta pusat operasi di Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi merekodkan 15 kematian, manakala satu mayat masih belum dikenalpasti.
Sebelum ini, 30 individu berjaya diselamatkan dan 20 lagi masih hilang. Operasi mencari dan menyelamat masih giat dijalankan.
Tragedi tersebut berlaku apabila feri KMP Tunu Pratama Jaya yang membawa 53 penumpang, 12 anak kapal dan 22 buah kenderaan dilaporkan karam di perairan Selat Bali pada 2 Julai lalu. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

