Dua lelaki dilaporkan hilang ditemui meninggal dunia

BERUAS - Dua lelaki ditemui mati dalam kejadian berasingan di kawasan Ayer Tawar di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, laporan kehilangan kedua-dua mangsa diterima Balai Polis Ayer Tawar pada Selasa.
Menurut beliau, mangsa pertama berusia 50 tahun dilaporkan keluar rumah pada Selasa manakala mangsa kedua berusia 55 tahun pula tidak pulang ke rumah sejak 27 Jun lalu.
"Pada jam 9.39 pagi, pihak polis menerima maklumat awam berkaitan penemuan mangsa pertama di kebun kelapa sawit, Jalan Taman Sri Perak di sini dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Mangsa kedua pula di sebuah rumah kosong di Taman Biru di sini pada jam 8.30 pagi. Mangsa ditemui dalam keadaan telah reput," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Hasbullah berkata, mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Unit Forensik, Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat.
Tambah beliau, kedua-dua mangsa tiada talian persaudaraan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Ayer Tawar di talian 05-6722222 atau Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 dan hotline WhatsApp 017-6828005 bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
