Misi tegas Mohd Shuhaily di sempadan negara

INISIATIF Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain turun padang meninjau operasi di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa lalu memberikan manifestasi baharu dalam pengawalan sempadan negara.
Biarpun baru dilantik ke jawatan itu, beliau dilihat sedaya upaya mengenal pasti dengan segera permasalahan yang berlaku membabitkan sumber manusia, infrastruktur yang boleh ditambah baik demi kedaulatan negara.
Dalam lawatan kerjanya, Mohd Shuhaily memaklumkan sedang meneliti beberapa perkara termasuk sumber manusia, infrastruktur dan prosedur operasi standard (SOP) yang memerlukan perhatian rapi, bukan saja AKPS tetapi semua pihak.
Sejak dari dulu, negara kita berdepan cabaran keselamatan di sempadan termasuk kegiatan jenayah rentas sempadan, pencerobohan nelayan asing di perairan dan pencerobohan pesawat asing.
Dalam tahun-tahun terakhir, peningkatan kes penyeludupan manusia dan barangan terlarang juga menjadi isu yang serius di beberapa kawasan sempadan dan ia begitu membimbangkan.
Justeru ketegasan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman itu jelas diperlukan ketika negara berdepan pelbagai masalah yang nampak seperti tiada kesudahan yang menyebabkan kerugian yang banyak.
Ia bukan satu kerja mudah. Jadi, tidak hairanlah apabila Mohd Shuhaily sendiri memberi amaran kepada pegawai atau anggotanya yang didapati terlibat dalam aktiviti penyeludupan atau salah guna kuasa akan berdepan tindakan serius termasuk buang kerja.
Laporan media sebelum ini juga menyebut, kerugian akibat jenayah rentas sempadan kita pada 2024 juga melebihi RM1 bilion dengan hampir 40,000 kes direkodkan.
Tindakan bagaimana lagi yang harus diambil untuk kita mengekang aktiviti haram di sempadan ini, ketika pihak berkuasa juga memberi sepenuh tumpuan dan perhatian kepada aspek keselamatan rakyat.
Syabas kepada Mohd Shuhaily yang segera meneliti semua permasalahan ini.
Jika tidak semua, sekurang-kurangnya usaha yang ditunjukkan menerusi lawatan kerja ini patut menjadi contoh kepada pegawai kerajaan yang lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
