Letupan paip gas: Menteri KPKT jawab tuduhan tidak turun padang

KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming enggan melayan tuduhan sesetengah pihak berhubung ketidakhadirannya ke lokasi letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya baru-baru ini.
Sebaliknya, beliau menjelaskan fokus utamanya ketika ini adalah menyelesaikan masalah rakyat susulan tragedi berkenaan.
Menjawab pertanyaan media berhubung dakwaan berkenaan, Kor Ming menegaskan bahawa semua kementerian kini sedang memainkan peranan masing-masing dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa terjejas.
“Sebenarnya, itu saya rasa tak perlu kita layan. Yang penting saya selesaikan masalah rakyat. Setakat hari ini, kita lihat semua kementerian sudah mula menyalurkan bantuan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan 14th Annual Affordable Housing Projects Conference di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Beliau turut memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong sendiri telah turun padang melihat keadaan mangsa dan menyampaikan bantuan.
“Kementerian Digital beri tablet, telefon bimbit. Kementerian Pendidikan beri bas percuma. Kerajaan negeri Selangor menerusi rangkaian DAP sendiri pun akan menyalurkan 100 peratus sumbangan yang berjaya dikumpul kepada mangsa terjejas,” ujarnya.
Kor Ming turut memberi jaminan bahawa semua mangsa juga akan menerima bantuan sepenuhnya daripada kerajaan.
“Saya akan bertemu Perdana Menteri pada jam 11 pagi hari ini bagi membincangkan formula penyelesaian terbaik.
“Jadi apabila ada keputusan kami akan membuat pengumuman,” katanya
Terdahulu, tular di media sosial beberapa kritikan yang mempersoalkan mengapa beliau itu tidak turun padang bagi melawat lokasi kejadian walaupun insiden itu melibatkan kawasan perumahan dan kebajikan penduduk.
Dalam sidang media sama, Kor Ming turut menegaskan bahawa objektif utama Kerajaan Madani adalah untuk melindungi rakyat dan memastikan semua bantuan sampai kepada mangsa dengan segera dan tersusun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

