Tindakan buang kerja jika terlibat aktiviti penyeludupan, salah guna kuasa - Mohd Shuhaily

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

SEPANG - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bakal mengambil tindakan lebih serius termasuk buang kerja terhadap pegawai atau anggotanya yang didapati terlibat dalam aktiviti penyeludupan atau salah guna kuasa.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, perkara itu merupakan antara cadangan yang akan dikemukakannya sebagai sebahagian daripada langkah untuk memperkukuh operasi di pintu masuk dan sempadan negara.

Beliau berkata, anggota dan pegawai AKPS perlu memiliki integriti tinggi kerana mereka dipertanggungjawabkan dengan bidang kuasa yang besar di pintu masuk negara.

"Apa yang saya tekankan agak sedikit serius dalam memastikan budaya integriti diutamakan kerana apabila kita menggabungkan banyak tugasan, sudah tentu kuasa itu semakin luas.

"Semakin luas kuasa seseorang itu, maka (makin) terbuka ruang dan peluang yang tidak sihat. Saya mungkin mencadangkan beberapa prosedur pengambilan (petugas) selain penamatan kerja yang lebih serius sekiranya seseorang itu didapati terlibat dalam aktiviti penyeludupan,” katanya selepas melakukan lawatan kerja pertamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini pada Selasa.

Beliau berkata, AKPS akan meneliti beberapa prosedur operasi standard (SOP) serta pengenalan fasiliti baharu bagi memastikan operasi di semua pintu masuk negara diperkemaskan serta berada di tahap tertinggi.

"Adalah tanggungjawab saya untuk memastikan kemudahan (di pintu masuk negara) berada pada tahap imej (peringkat) antarabangsa seperti yang ingin dipaparkan kerajaan,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata, bagi fasa pertama, AKPS dipertanggungjawabkan untuk mengawal di 22 pintu masuk negara selaras Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (Akta 860).

"Pada masa ini, fokus saya untuk memperkuatkan tempat yang diwartakan, kemudian baru kita kembangkan kepada ruang lingkup kerja risikan dan pencegahan yang memberi kuasa di luar tempat yang diwartakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

AKPS berfungsi sebagai agensi tunggal di sempadan, menyatukan kepakaran dan sumber dari pelbagai jabatan kerajaan untuk menyelaraskan operasi di semua pintu masuk negara. 

 


Keupayaan AKPS perlu diperkukuh bagi bendung aktiviti penyeludupan

SEPANG - Keupayaan operasi oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) perlu diperkukuhkan bagi membendung aktiviti penyeludupan di sempadan negara secara berkesan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pada masa ini AKPS masih memerlukan bantuan agensi lain dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan.

“Bagaimanapun, kita sedang berusaha ke arah mengukuhkan keupayaan operasi dan pengumpulan risikan.

"Terdapat banyak cabaran tetapi kita sedang berusaha mengatasinya, selain bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan," katanya dalam sidang akhbar lawatan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Selasa.

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya tidak menghadapi masalah dalam kerjasama antara agensi teras.

"AKPS masih dalam menyusun beberapa perkara, termasuk sumber manusia, infrastruktur dan prosedur operasi standard (SOP) yang memerlukan perhatian rapi.

“Kami bertanggungjawab ke atas 22 pintu masuk tetapi ada yang masih tidak mempunyai komander. Bagaimanapun, kita sudah menempatkan komander di lokasi keutamaan tinggi,” katanya.

Beliau berkata, agensi itu kini beroperasi di bawah fasa pertama perancangan sejak mengawal pintu masuk negara manakala fasa dua dijangka bermula pada Oktober depan.

“Bagaimanapun, ketepatan masa boleh diselaraskan jika perlu bagi memastikan agensi itu bersedia sepenuhnya.

“Saya akan meminta dengan pihak berkuasa yang berkenaan untuk memberi lebih banyak ruang dan peluang sekiranya saya mendapati usaha untuk menjadikan agensi itu berkesan memerlukan lebih masa,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!