Hubungan Malaysia-AS ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif - Anwar

PUTRAJAYA – Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) komited memperkukuh kerjasama dua hala ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif melalui pelbagai bidang termasuk pelaburan digital, kecerdasan buatan (AI), pertahanan dan pendidikan.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kunjungan hormat oleh Setiausaha Negara AS, Marco Rubio ke atas beliau pada Khamis.
Menurut Anwar, pertemuan berkenaan membuka ruang kerjasama yang lebih luas selain menjadi wadah penting untuk bertukar pandangan mengenai isu serantau yang mendesak.
“Kami turut bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau yang mendesak termasuk situasi di Palestin, Ukraine dan Myanmar.,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pertemuan itu, Malaysia turut menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan tarif import sebanyak 25 peratus oleh AS seperti yang diumumkan sebelum ini oleh Presiden Donald Trump.
Anwar menjelaskan, tindakan unilateral sedemikian berpotensi menjejaskan aliran perdagangan bebas dan memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi serantau, terutama kepada negara dagang seperti Malaysia.
“Malaysia berpandangan bahawa sebarang keputusan perdagangan perlu dibuat menerusi rundingan yang terbuka bagi menjamin hasil yang adil, saksama serta tidak menindas negara membangun,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, rundingan dan kerjasama berterusan merupakan asas utama kepada sistem perdagangan global yang inklusif dan progresif.
Di akhir pertemuan, Perdana Menteri turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Presiden Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober ini.
“Malaysia kekal yakin bahawa kerjasama erat dengan AS bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala, malah menjadi pemangkin kepada kestabilan, kemakmuran dan keamanan rantau Indo-Pasifik secara keseluruhan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

