[VIDEO] Syarikat, pengarah didakwa guna logo SIRIM palsu pada tayar celup

A
A
A

SEREMBAN- Sebuah syarikat dan pengarahnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menggunakan pelekat Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) palsu pada 80 tayar celup yang dibekalkannya.

Chai Kee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban pada Khamis atas pertuduhan menggunakan logo SIRIM palsu pada tayar celup yang dibekalkannya.
Chai Kee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban pada Khamis atas pertuduhan menggunakan logo SIRIM palsu pada tayar celup yang dibekalkannya.

Syarikat Cerico Retread Sdn Bhd dan Choo Chai Kee, 65, yang merupakan pengarah syarikat terbabit, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, syarikat dan tertuduh didapati dalam perjalanan perdagangan telah membuat representasi palsu dengan menggunakan pelekat logo SIRIM MS 224:2005 pada 80 unit tayar celup pelbagai jenama dan saiz bagi tujuan pembekalan tanpa kelulusan SIRIM selaku pihak berwibawa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 13 Februari lalu, kira-kira jam 4 petang di sebuah premis di Taman Perindustrian Bukit Palong Lukut, Pekan Lukut, Port Dickson.

Berikutan itu, syarikat berkenaan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] kerana melanggar Seksyen 16(1) akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 21(a) akta berkenaan, manakala Chai Kee didakwa mengikut Seksyen 21(b).

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 21(a) Akta Perihal Dagangan 2011, jika pihak yang dituduh merupakan pertubuhan perbadanan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM1 juta.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 21(b), jika tertuduh bukan suatu pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM200,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, hukuman boleh meningkat kepada denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhammad Hakiim Izani mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap pengarah syarikat dengan seorang penjamin warganegara, serta syarat tambahan supaya pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam, N Raswanti merayu agar wang jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya sudah lanjut usia dan memerlukan pasport kerana akan menghadiri majlis perkahwinan anak perempuannya di Australia dari 10 hingga 16 Ogos depan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin warganegara, serta menetapkan syarat tambahan agar tertuduh melaporkan diri di pejabat KPDN setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi sama ada secara langsung atau melalui pihak ketiga.

Sekiranya terdapat keperluan untuk menggunakan pasport, tertuduh boleh membuat permohonan sewajarnya kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Ogos depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!