Maybank, Alliance Bank umum pengurangan kadar asas

Maybank dan Alliance Bank umum pengurangan kadar asas.
Maybank dan Alliance Bank umum pengurangan kadar asas.
A
A
A

SHAH ALAM - Maybank akan menurunkan Kadar Asas (BR) dan Kadar Pinjaman Asas (BLR) sebanyak 25 mata asas berkuat kuasa 11 Julai ini selaras dengan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan pada Rabu.

Menurut Maybank, kadar asas bank itu akan dikurangkan daripada 3 peratus setahun kepada 2.75 peratus setahun, manakala Kadar Pinjaman Asas (BLR) akan diturunkan daripada 6.65 peratus setahun kepada 6.40 peratus setahun.

"Begitu juga, Kadar Pembiayaan Asas Islamik akan dikurangkan sebanyak 25 mata asas, daripada 6.65 peratus setahun kepada 6.40 peratus setahun.

"Selaras dengan penyelarasan ini, kadar deposit tetap Maybank dan Maybank Islamic juga akan disemak turun sebanyak 25 mata asas pada tarikh yang sama.

"Kali terakhir Maybank menyemak Kadar Asasnya ialah pada 8 Mei 2023, apabila ia dinaikkan daripada 2.75 peratus kepada 3 peratus setahun," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada Rabu mengumumkan penurunan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.

Dalam satu kenyataan, bank pusat berkenaan menyatakaan penurunan tersebut akan menyebabkan kadar siling dan lantai OPR masing-masing kini turun kepada tiga peratus dan 2.5 peratus.

Sementara itu, Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) dan Alliance Islamic Bank Berhad (Alliance Islamic Bank) turut mengumumkan akan mengurangkan Kadar Asas Piawai (SBR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus setahun selaras dengan OPR yang telah disemak BNM pada Rabu.

Ujarnya, kadar baharu ini akan berkuat kuasa mulai 15 Julai ini.

Artikel Berkaitan:

"Sejajar dengan itu, Alliance Bank dan Alliance Islamic Bank juga akan menurunkan BR sebanyak 25 mata asas daripada 3.82 peratus kepada 3.57 peratus setahun.

"BLR dan Kadar Pembiayaan Asas (BFR) turut disemak turun daripada 6.67 peratus kepada 6.42 peratus setahun, juga berkuat kuasa pada 15 Julai ini," katanya.

Tambahnya, pelarasan tersebut dilaksanakan selaras dengan Kerangka Kadar Rujukan BNM yang berkuat kuasa sejak 1 Ogos 2022 di mana SBR digunakan sebagai kadar rujukan bersama bagi semua institusi kewangan untuk pinjaman atau pembiayaan runcit berkadar terapung yang baharu dan akan dikaitkan sepenuhnya kepada OPR.

"Selaras dengan pelarasan ini, Alliance Bank dan Alliance Islamic Bank juga akan menyemak turun kadar deposit tetap mereka pada tarikh kuat kuasa yang sama," katanya menerusi satu kenyataan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!