Halang laluan bas: Polis rakam keterangan pemandu bas, pengayuh basikal

KUALA SELANGOR - Polis telah merakam keterangan empat individu berhubung insiden menghalang laluan sebuah bas yang dipercayai melibatkan sekumpulan pengayuh basikal di Kilometer 23 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur arah Sungai Buloh, pada Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya juga telah menerima dua laporan polis setakat ini, iaitu daripada pemandu bas dan seorang daripada penunggang basikal terbabit.
"Buat masa ini polis telah merakam keterangan empat individu dan tiada saman dikeluarkan memandangkan siasatan masih lagi berjalan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Semalam, Azaharudin dilaporkan berkata, polis sedang mengesan sekumpulan pengayuh basikal yang dipercayai terbabit dalam insiden menghalang laluan sebuah bas kira-kira jam 9.35 pagi Ahad berdekatan lampu isyarat Batu Arang dengan kes disiasat di bawah Peraturan 42(3) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana menunggang basikal secara bersaing.
Terdahulu, tular satu video memaparkan pertelingkahan antara sekumpulan penunggang basikal dengan seorang pemandu bas sebelum ditenangkan anggota dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang kebetulan melalui jalan berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
