JPJ gantung serta-merta lesen pemandu bas terlibat kemalangan

Aedy Fadly (tengah).
Aedy Fadly (tengah).
A
A
A

AMPANG - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan tegas dengan menggantung serta-merta lesen pemandu kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam, sementara siasatan dijalankan pihak berkuasa.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada dua tindakan penambahbaikan bagi memastikan pemandu kenderaan perdagangan, termasuk pemegang lesen vokasional lebih berhemah serta mematuhi peraturan di jalan raya.

"Sekiranya individu itu didapati bersalah atau dikeluarkan suatu notis pelanggaran peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], lesen individu itu akan dibatalkan oleh JPJ mengikut peruntukan di bawah Seksyen 56 (4) (b) Akta 333," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program MyLesen B2 2025 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Pusat Konvensyen MPAJ di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Aedy berkata, pemandu kenderaan perdagangan yang didapati bersalah pula akan dikenakan tindakan gantung lesen dan wajib mengikuti latihan semula untuk mengaktifkan semula lesen atau dikeluarkan dari senarai gantung.

"Program latihan semula itu akan dianjurkan oleh pihak JPJ di lokasi-lokasi yang akan ditetapkan kelak.

"Semua pemandu itu akan dikenakan fi bagi menampung kos program latihan tersebut," katanya.

Beliau berkata, pengisian program itu merangkumi pengajaran semula pengetahuan berkaitan dengan kompetensi pemanduan termasuk peraturan jalan raya, aspek pemanduan selamat, perubahan minda, dan pengendalian kenderaan secara selamat.

"JPJ juga akan menetapkan tempoh masa program yang wajib dilengkapkan dengan jayanya oleh mana-mana individu terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Perincian program itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat menerusi laman web rasmi www.jpj.gov.my," katanya.

Aedy Fadly berkata, kedua-dua tindakan penambahbaikan itu berpandukan kepada peruntukan Akta 333 dalam mengawal selia, menguat kuasa peraturan serta memastikan kompetensi pemandu terutamanya kenderaan perdagangan berada pada tahap baik.

"Kita berharap dengan tindakan tersebut semua pemandu kenderaan perdagangan termasuk pemandu bas dan kenderaan barangan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan memandu dengan berhemah serta mementingkan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya yang lain," ujarnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!