Juruukur bahan PBT disyaki terima suapan RM200,000 direman SPRM

KOTA KINABALU - Seorang juruukur bahan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki menerima wang suapan lebih RM200,000 daripada beberapa kontraktor dan syarikat sebagai balasan membantu mendapatkan projek ditawarkan PBT berkenaan.
Suspek berusia 30-an itu direman selama empat hari bermula Rabu, selepas permohonan dibuat SPRM terhadap Majistret Wan Farrah Farizza Wan Ghazali di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.
Sebelum itu, suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 7 petang Selasa.
Suspek disyaki telah menerima wang rasuah lebih RM200,000 daripada beberapa kontraktor dan syarikat pembekal melalui pelbagai transaksi sebagai habuan bagi membantu mendapatkan projek di PBT berkenaan.
Antaranya melibatkan pembasmian kemiskinan, pembinaan baharu rumah mesra Sabah, pembersihan pusat-pusat pembuangan sampah dan pembekalan alat-alat ganti kenderaan sekitar tahun 2021 hingga 2024.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
