Kes Rosmah: Cabaran pihak berkuasa bendung fitnah siber

Keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Rosmah wajar dijadikan iktibar dan peringatan kepada pengguna media sosial.
Keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Rosmah wajar dijadikan iktibar dan peringatan kepada pengguna media sosial.
A
A
A

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa memerintahkan pemilik akaun TikTok, Ku Muhammad Hilmie Ku Din membayar RM100,000 kepada Datin Seri Rosmah Mansor atas dakwaan memfitnah beliau kononnya mengamalkan ilmu hitam.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan Rosmah, 74, yang difailkan selepas defendan gagal memasukkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman pada tarikh ditetapkan.

Terdahulu, pada 28 Mei lalu, mahkamah telah memberikan penghakiman ingkar terhadap Ku Muhammad Hilmie selepas beliau gagal mengambil tindakan balas dalam tempoh yang ditetapkan oleh mahkamah.

Kes ini mencerminkan realiti getir dalam era digital apabila media sosial menjadi platform mudah menyebarkan maklumat palsu, namun pada masa sama boleh mengundang implikasi undang-undang yang serius.

Tuduhan yang dilemparkan terhadap Rosmah bahawa beliau terlibat dalam amalan ilmu hitam merupakan satu dakwaan berat yang jelas menjatuhkan maruah peribadi serta menyemai kebencian dan ketakutan yang tidak berasas dalam ruang awam.

Keputusan mahkamah tersebut memberi isyarat tegas bahawa sistem kehakiman tidak akan berdiam diri terhadap penyebaran fitnah dan maklumat palsu, terutama yang menyentuh reputasi individu.

Walaupun keputusan ini dianggap kemenangan buat pihak plaintif dan prinsip keadilan, pihak berkuasa berdepan cabaran besar dalam mengawal penyalahgunaan media sosial.

Akaun palsu, penyamaran identiti dan kelajuan penyebaran kandungan menjadikan fitnah siber sukar dikesan dan dibanteras secara menyeluruh.

Masih ramai pengguna media sosial yang kurang jelas tentang sempadan antara kebebasan bersuara dan perbuatan fitnah.

Artikel Berkaitan:

Apa yang dianggap sebagai ‘gurauan’ atau ‘pendapat peribadi’, sebenarnya boleh membawa kepada kesan besar terhadap mangsa, termasuk tindakan undang-undang.

Keputusan Mahkamah Tinggi ini wajar dijadikan iktibar dan peringatan kepada pengguna media sosial bahawa setiap perkongsian, khususnya yang membabitkan tuduhan berat, perlu disertai dengan tanggungjawab dan kesedaran undang-undang.

Pendidikan digital, penguatkuasaan undang-undang siber serta kesedaran masyarakat perlu dipertingkat bagi memastikan media sosial terus menjadi ruang selamat untuk semua.

Kesimpulannya, kebebasan bersuara perlu disertai dengan tanggungjawab. Apa yang ditulis atau dikongsikan hari ini, boleh menjadi bukti di mahkamah pada masa hadapan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!