Lebih 32,000 peluang pekerjaan diwujudkan menerusi Selangor Aero Park

SHAH ALAM – Projek Selangor Aero Park (SAP) dijangka mewujudkan lebih 32,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi menjelang tahun 2030 selaras peranan SAP sebagai antara inisiatif utama dalam Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, Ng Sze Han berkata, usaha itu diperkuat melalui kerjasama strategik antara Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO) dalam membangunkan ekosistem modal insan yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat serantau.
“Sebagai penyewa utama dalam fasa awal pembangunan SAP, GE Aerospace telah menunjukkan komitmen terhadap projek ini sebagai sebahagian daripada strategi peluasan mereka di Asia Tenggara.
“Kehadiran GE Aerospace memberikan isyarat positif kepada pasaran global sekali gus mengesahkan daya tarikan SAP sebagai hab aeroangkasa serantau,” ujarnya ketika menjawab pertanyaan Pua Pei Ling (PH–Bukit Lanjan) ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 di Wisma Dewan Negeri di sini pada Rabu.
Beliau berkata, selain itu MBI dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) juga giat menjalankan rundingan dengan pemain industri aeroangkasa antarabangsa bagi menempatkan operasi mereka di Selangor.
“Fokus rundingan termasuk sektor berketepatan tinggi, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), teknologi penerbangan serta logistik pintar, semuanya bagi memperkukuh keseluruhan rantaian nilai industri aeroangkasa di negeri ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

