Selangor Aero Park tarik pelaburan asing berimpak tinggi

SHAH ALAM – Kerajaan negeri melaksanakan lima strategi utama bagi memastikan projek Selangor Aero Park (SAP) di KLIA Aeropolis berjaya menarik pelaburan asing berimpak tinggi dalam sektor aeroangkasa.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata, usaha itu dirangka secara bersama oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), sebagai antara langkah menyokong kejayaan SAP sebagai hab aeroangkasa serantau.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Pua Pei Ling (PH–Bukit Lanjan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di Wisma Dewan Negeri di sini pada Rabu.
Menurut beliau, strategi pertama melibatkan penyediaan ekosistem bertaraf dunia dan akses pasaran global menerusi kehadiran syarikat utama seperti Airbus Helicopters, GE Aviation dan Spirit AeroSystems.
Kehadiran syarikat ini dapat menyediakan ekosistem berfokus masa depan yang menggalakkan inovasi, akses kepada sokongan penyelidikan dan pembangunan (R&D), kemudahan bertaraf tinggi serta peluang kerjasama dengan institusi akademik dan rakan industri terkemuka.
Jelasnya, strategi kedua ialah mewujudkan tadbir urus mesra perniagaan dan berfokus pelabur menerusi penyelarasan pantas serta efisien antara kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan. Langkah ini mempercepat proses penempatan syarikat serta pembangunan fizikal termasuk kelulusan pembangunan dan pelesenan.
Strategi ketiga, ujarnya, memberi tumpuan kepada pengukuhan program pembangunan bakat dan tenaga kerja dalam industri aeroangkasa. Selangor Aero Park menjadikan pembangunan modal insan sebagai teras utama sektor aeroangkasa yang mampan dan berdaya saing.
“Usaha sama antara MBI dan National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO) dilaksanakan bagi melahirkan tenaga kerja berkualiti tinggi termasuk melalui penubuhan Aerospace Talent Centre, pelaksanaan program pembangunan kemahiran masa hadapan menerusi kerangka MyAERO serta pengukuhan hubungan strategik antara sektor industri dan akademik,” ujarnya.
Tambah beliau, kerjasama turut diperluas kepada institusi pendidikan dan latihan teknikal seperti Selangor Technical Development Centre (STDC), Malaysia Institute of Aviation Technology (MIAT) dan Politeknik Banting bagi membentuk ekosistem pembangunan modal insan yang inklusif dan progresif, selaras dengan aspirasi nasional dalam bidang aeroangkasa.
Strategi keempat pula membabitkan penciptaan kemudahan logistik bersepadu dengan sambungan pengangkutan multimodal.
Lokasi SAP yang berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disokong infrastruktur menghubungkan darat dan laut termasuk lebuh raya utama, terminal kargo udara dan kemudahan zon perdagangan bebas.
"Manakala strategi kelima memfokus kepada pemerkasaan inovasi dan kemajuan teknologi melalui penyediaan kemudahan penyelidikan selain pembangunan, kerjasama industri dan akademik serta pelaksanaan inisiatif pemindahan teknologi.
“Selangor juga aktif mempromosikan SAP di peringkat antarabangsa termasuk melalui kempen seperti Paris Air Show 2025. Ia menjadi platform penting untuk menampilkan kelebihan kompetitif SAP dan membina keyakinan pelabur global terhadap komitmen kerajaan negeri,” ujarnya.
Sze Han berkata, Selangor Aero Park merupakan salah satu inisiatif utama dalam Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 yang berpotensi mewujudkan lebih 32,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.
“Kerjasama strategik antara MBI dan NAICO akan memperkukuh ekosistem modal insan sektor ini melalui pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat serantau,” jelasnya.
Menurut beliau, GE Aerospace sebagai penyewa utama bagi fasa awal pembangunan SAP telah menunjukkan komitmen terhadap projek ini sebagai sebahagian daripada strategi peluasan mereka di Asia Tenggara.
“Isyarat positif daripada GE mengesahkan daya tarikan SAP sebagai hab aeroangkasa serantau,” ujarnya.
Dalam masa sama, MBI dan MAHB turut giat menjalankan rundingan dengan pemain industri aeroangkasa global untuk menempatkan operasi mereka di Selangor.
Tumpuan rundingan termasuk sektor berketepatan tinggi, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), teknologi penerbangan dan logistik pintar yang dapat memperkukuh keseluruhan rantaian nilai industri aeroangkasa negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

