HSNZ catat sejarah lakukan pembedahan tumor otak secara sedar pertama

Pembedahan dilaksanakan ke atas pesakit berusia 33 tahun itu pada 29 Jun lalu.
FOTO: Neurosurgery HSNZ Official
Pembedahan dilaksanakan ke atas pesakit berusia 33 tahun itu pada 29 Jun lalu. FOTO: Neurosurgery HSNZ Official
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya melaksanakan pembedahan kraniotomi dalam keadaan sedar (awake craniotomy) buat kali pertama di Terengganu pada 29 Jun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, prosedur pembedahan berprofil tinggi itu melibatkan seorang pesakit wanita berusia 33 tahun yang mengalami sawan fokal, kelemahan otot muka serta gangguan pertuturan.

"Imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) mendapati terdapat ketumbuhan (tumor) di lobus frontal kiri otak pesakit, berhampiran kawasan kritikal yang mengawal pertuturan.

"Bagi mengelakkan risiko kecacatan neurologi, pendekatan pembedahan dalam keadaan sedar dipilih supaya pemantauan pertuturan dan fungsi motor dapat dilakukan secara langsung sepanjang prosedur,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Pasukan pembedahan merakam gambar kenangan selepas selesai menjalani pembedahan tumor otak secara sedar pertama di Terengganu.
FOTO: Neurosurgery HSNZ Official
Pasukan pembedahan merakam gambar kenangan selepas selesai menjalani pembedahan tumor otak secara sedar pertama di Terengganu. FOTO: Neurosurgery HSNZ Official

Menurutnya, pembedahan tersebut berjaya dilaksanakan hasil kerjasama pelbagai jabatan termasuk Jabatan Bedah Saraf, Anestesiologi, Neurologi, Psikiatri dan Radiologi, selain sokongan teknikal serta kepakaran dari Hospital Sungai Buloh.

Dr Kasemani berkata, sesi persediaan rapi dan latihan praoperasi turut diadakan bersama pesakit bagi memastikan prosedur berjalan lancar tanpa tekanan emosi atau gangguan komunikasi semasa pembedahan.

"Pesakit diberi bius setempat dan ubat penenang sebelum dibawa ke fasa sedar untuk membolehkan pasukan neurologi dan psikiatri menilai fungsi pertuturan serta pergerakan secara langsung.

Artikel Berkaitan:

"Ketumbuhan kemudiannya dikeluarkan dengan teliti oleh pakar bedah saraf menggunakan mikroskop dan teknologi pembedahan berpandukan imej (IGS)," katanya.

Beliau berkata, prosedur itu berlangsung tanpa sebarang komplikasi dan pesakit dibenarkan pulang dua hari kemudian dalam keadaan stabil, bebas sawan serta tanpa sebarang defisit neurologi.

"Kejayaan ini merupakan pencapaian penting dalam bidang neurosurgeri di HSNZ dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) selain membuktikan keupayaan tenaga pakar tempatan mengendalikan pembedahan otak kompleks secara profesional dan selamat," katanya.

Dalam pada itu, Dr Kasemani turut merakamkan penghargaan terhadap semua pasukan terlibat atas komitmen, kepakaran dan semangat kerja berpasukan yang tinggi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!