CGM NGO pertama salur dana RM2.2 juta untuk pembangunan di Gaza

SHAH ALAM - Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) merupakan badan bukan kerajaan (NGO) pertama yang menyalurkan dana sebanyak RM2.2 juta untuk pembangunan terancang di Semenanjung Gaza.
Perkara itu dilaksanakan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bersama The Arab and International Organisation to Construct in Palestine (Palimar).
Palimar ialah NGO antarabangsa yang terkenal dengan kepakaran dalam pembangunan terancang di Semenanjung Gaza.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, kerjasama itu membawa lembaran baharu kepada penduduk di Gaza yang telah lama terkesan akibat krisis kemanusiaan dan konflik berpanjangan.
“Hari ini merupakan detik penting bukan sahaja buat CGM tetapi buat seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin terhadap isu kemanusiaan di Palestin.
“Kita melangkah ke hadapan bukan sekadar menghantar bantuan tetapi membina masa depan Gaza bersama rakan global yang berwibawa seperti Palimar.
“Majlis menandatangani MoU ini menyaksikan usaha awal CGM untuk menyumbang sebanyak RM2.2 juta bagi memulakan fasa pertama projek pembangunan semula Gaza, sekali gus menjadikan CGM sebagai NGO pertama dari Asia Tenggara yang bekerjasama secara rasmi dengan Palimar,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut menurut Muhammad Nadir Al-Nuri, perjanjian tersebut turut memperincikan fokus pembangunan awal merangkumi pembinaan penempatan semula, pembangunan sistem air bersih, penyediaan jentera berat untuk pembersihan runtuhan dan jalan.
Selain itu, menerusi kerjasama itu juga turut diperincikan mengenai projek baik pulih pusat kesihatan dan infrastruktur asas yang diperlukan untuk memulihkan kehidupan masyarakat Gaza dalam jangka masa panjang.
Tambah beliau, Palimar yang berpangkalan di Amman, Jordan merupakan antara NGO terbesar dan paling berpengaruh dalam sektor pembangunan antarabangsa, khususnya di wilayah bergolak seperti Gaza.
“Kerjasama ini membuka lembaran baharu dalam usaha kemanusiaan yang lebih strategik, mampan dan berskala besar di wilayah Gaza,” ujarnya.
Sementara itu, wakil Palimar, Issa Mkiki berkata, langkah proaktif CGM akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik baharu dalam solidariti antarabangsa terhadap Palestin dan bukan sekadar menjadi suara diplomasi, tetapi melalui tindakan yang nyata serta terancang.
“Kami mengalu-alukan kehadiran CGM sebagai rakan strategik baharu.
"Usaha mereka memberi harapan dan inspirasi bahawa solidariti global terhadap Gaza semakin berkembang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
