Dua saksi buat laporan polis berhubung rakaman audio libatkan Ketua Menteri Melaka

Muhammad Rafique (tengah) dan Mohamad Ali (kanan) pada sidang media di sebuah hotel di ibu negara pada Rabu. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
Muhammad Rafique (tengah) dan Mohamad Ali (kanan) pada sidang media di sebuah hotel di ibu negara pada Rabu. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua individu telah tampil membuat laporan polis berhubung rakaman audio yang mengaitkan bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dalam dakwaan konspirasi politik melibatkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Peguam Mohamad Ali, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, laporan polis oleh kedua-dua saksi itu dibuat secara sukarela masing-masing pada 4 dan 5 Mei lalu di Balai Polis Batang Tiga, Melaka.

Menurutnya, kedua-dua individu tersebut turut memohon perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bagi menjamin keselamatan mereka sepanjang proses siasatan berlangsung.

“Kedua-dua saksi telah secara rela hati membuat laporan polis dan pada masa sama memohon perlindungan di bawah Akta 711. Mereka mengesahkan permohonan itu dalam laporan masing-masing.

“Setakat ini, kita sahkan bahawa kedua-dua saksi tersebut wujud dan permohonan mereka adalah sah. Oleh itu, PDRM perlu memastikan aspek perlindungan keselamatan terhadap mereka diberikan dengan sewajarnya,” katanya dalam satu sidang media khas yang turut dihadiri Mohamad Ali di sebuah hotel di ibu negara pada Rabu.

Rafique berkata, percakapan kedua-dua saksi telah direkodkan secara separa dan mereka dijangka dipanggil semula bagi membantu siasatan lanjut.

“Bagaimanapun, kita tidak dapat mendedahkan identiti dan butiran lanjut saksi-saksi terbabit kerana ia tertakluk di bawah peruntukan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Ali yang juga Timbalan Ketua Penerangan Bersatu turut membuat laporan polis bagi meminta pihak berkuasa menyiasat secara menyeluruh berhubung dakwaan yang dikaitkan dengannya.

Artikel Berkaitan:

Beliau mendakwa pernah ditahan secara salah oleh polis pada November 2023 susulan isu berkenaan, namun sehingga kini tiada sebarang pendakwaan dilakukan ke atasnya.

Sebelum ini, beberapa klip audio tular di media sosial dipercayai memuatkan perbualan antara dua individu, salah seorang daripadanya dikenali sebagai ‘bos’.

Dalam klip pertama, dua suara didakwa membincangkan perihal laporan yang akan dibuat di balai polis, manakala klip kedua mengandungi perbualan berkaitan status laporan tersebut dan janji ganjaran selepas tugasan selesai.

Susulan penularan rakaman itu, Mohamad Ali telah ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 15 April lalu di bawah Seksyen 16 Akta SPRM.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kemudiannya menafikan sebarang penglibatan dalam isu berkenaan, malah menyifatkan dakwaan itu sebagai spekulasi yang tidak berasas.

Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka turut berkata, beliau mengetahui pihak yang didakwa menjadi dalang penyebaran audio yang dikaitkan dengannya, namun enggan mengambil tindakan kerana menganggap ia sebagai permainan politik untuk mencemarkan reputasinya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!