FFM34 tampil kategori baharu, jangka penyertaan lebih 60 filem

Nie Ching (tengah) pada majlis perasmian Festival Filem Malaysia ke-34 di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia di Hulu Kelang.
Nie Ching (tengah) pada majlis perasmian Festival Filem Malaysia ke-34 di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia di Hulu Kelang.
A
A
A

FESTIVAL Filem Malaysia ke-34 (FFM34) membuka lembaran baharu dalam sejarah penganjurannya apabila memperkenalkan kategori baharu, Aksi & Lagak Ngeri Terbaik, bagi mengiktiraf keberanian dan profesionalisme karyawan dalam menjayakan babak aksi secara selamat dan berkualiti tinggi.

Pengumuman tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, dalam sidang media rasmi pelancaran FFM34 yang berlangsung di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Kelang pada Selasa.

Menurut YB Teo, pengenalan kategori baharu ini dibuat berikutan lonjakan ketara penerbitan filem aksi tempatan yang bukan sahaja semakin berkualiti dari segi teknikal dan aspek keselamatan, malah turut mencatat nilai tontonan yang tinggi.

“Kategori ini diwujudkan bagi menghargai usaha luar biasa tenaga produksi, pasukan teknikal serta pelakon lagak ngeri yang sering berada di barisan hadapan babak berisiko tinggi,” ujar beliau.

Bertemakan “Karya Kreatif, Sinema Dinamik”, FFM34 yang dianjurkan oleh Finas dengan sokongan Kementerian Komunikasi, akan berlangsung pada 8 November 2025 dan disiarkan secara langsung dari Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media.

Penganjuran kali ini dijangka menyaksikan penyertaan lebih 60 filem tempatan, membuktikan tahap produktiviti dan komitmen industri filem negara yang terus berkembang pesat meskipun berdepan cabaran pascapandemik.

Sebanyak 30 kategori akan dipertandingkan pada edisi kali ini, termasuk kategori khas seperti Anugerah Khas Filem Box Office, Anugerah Khas Juri, dan Anugerah Sepanjang Zaman.

Bukan itu sahaja, prestasi semasa industri turut menunjukkan momentum positif setakat 30 Jun lalu, sebanyak 39 buah filem telah ditayangkan dengan kutipan mencecah RM162.89 juta, berbanding RM125.28 juta untuk tahun 2024.

Filem animasi Ejen Ali The Movie 2 pula mencipta sejarah sebagai filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi iaitu lebih RM55 juta.

Artikel Berkaitan:

Nie Ching turut menegaskan bahawa FFM34 bukan sekadar malam anugerah, sebaliknya merupakan platform strategik bagi mengukuhkan ekosistem industri, memupuk diplomasi budaya, memperluas jaringan kerjasama dan membuka ruang pelaburan baharu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!