WCE alternatif strategik tangani kesesakan PLUS

Persimpangan Taiping Selatan berhampiran Changkat Jering yang menghubungkan WCE dengan PLUS membantu menyuraikan trafik pada waktu puncak serta jika berlaku insiden yang menghalang laluan.
Persimpangan Taiping Selatan berhampiran Changkat Jering yang menghubungkan WCE dengan PLUS membantu menyuraikan trafik pada waktu puncak serta jika berlaku insiden yang menghalang laluan.
A
A
A

IPOH – Kewujudan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) bukan sahaja berfungsi sebagai laluan alternatif, malah menjadi pelengkap kepada sistem lebuh raya sedia ada, khususnya Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), bagi menangani kesesakan lalu lintas, terutama ketika musim perayaan dan waktu puncak hujung minggu.

Ketua Operasi WCE, Syed Muhd Naguib Syed Mohd berkata, peranan lebuh raya itu semakin ketara sejak beberapa seksyen dibuka kepada orang ramai secara berperingkat sejak 2019.

Menurutnya, WCE memainkan peranan penting dalam menyuraikan aliran trafik, terutamanya apabila berlaku insiden tidak dijangka di PLUS seperti kemalangan di Changkat Jering menghala ke Kuala Kangsar baru-baru ini yang menyebabkan kesemua lorong terhalang.

“Ketika itu, trafik telah dialihkan ke WCE sebagai laluan alternatif sementara kerja pengalihan dan pembersihan dijalankan.

"Ini jelas menunjukkan bagaimana WCE melengkapi lebuh raya sedia ada dalam memastikan kelancaran trafik,” katanya kepada Sinar Harian.

Syed Muhd Naguib berkata, selain faktor keselamatan dan keselesaan pemanduan dengan reka bentuk geometri yang landai, WCE turut menyediakan pelbagai kemudahan seperti kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah di setiap plaza tol.

Katanya, WCE juga mempunyai kelebihan dari segi capaian terus ke bandar-bandar utama di sepanjang pesisir barat yang tidak dihubungkan secara langsung oleh PLUS seperti Taiping, Lumut, Sitiawan, Teluk Intan, Tanjung Karang dan Banting.

Tambahnya, WCE turut berintegrasi dengan beberapa lebuh raya lain termasuk PLUS di Changkat Jering.

Jelasnya, ia memberi kelebihan kepada sektor logistik dan perdagangan kerana menghubungkan kawasan perindustrian serta pelabuhan utama seperti Pelabuhan Lumut dan Pelabuhan Klang.

Artikel Berkaitan:

Mengulas penggunaan semasa, Syed Muhd Naguib berkata, sejak pembukaan jajaran Seksyen 6 di Assam Jawa pada November 2023 dan Seksyen 11 di Taiping pada Mac 2024, purata trafik harian meningkat daripada 50,000 kepada lebih 90,000 kenderaan sehari.

“Pada musim Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, kita merekodkan trafik harian tertinggi sekitar 186,000 kenderaan. Ini menunjukkan peningkatan ketara hampir 70 hingga 80 peratus berbanding hari biasa.

“Jika dahulu pengguna lebih tertumpu kepada perjalanan jarak dekat seperti dari Lekir ke Sitiawan, kini mereka sudah menggunakan WCE untuk perjalanan ke utara termasuk ke Pulau Pinang dan Kedah dengan akses terus ke PLUS,” katanya.

Menurutnya, sebelum pembukaan Seksyen 11, perjalanan dari Changkat Jering ke Beruas mengambil masa lebih sejam menggunakan jalan lama, tetapi kini hanya mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit melalui WCE.

Jelasnya, peningkatan trafik turut membabitkan kenderaan kelas 2 dan 3 (logistik), selari dengan kemudahan akses terus ke pelabuhan dan kawasan industri.

“Apabila semua seksyen siap sepenuhnya menjelang hujung 2026 nanti, WCE akan menjadi laluan alternatif utama bagi pengguna dari Banting hingga Taiping. Ia bukan sahaja membantu kelancaran trafik, malah akan memacu pertumbuhan ekonomi setempat termasuk sektor pelancongan dan nilai hartanah.

“Antara lokasi yang bakal mendapat manfaat termasuk Teluk Batik, Pulau Pangkor dan Taiping yang kini boleh diakses dengan lebih mudah dan cepat tanpa perlu keluar ke jalan lama seperti sebelum ini,” ujarnya.

Buat masa ini, katanya, masih terdapat tiga seksyen yang belum dibuka iaitu Seksyen 3 (Seri Andalas ke Lebuhraya Persekutuan), Seksyen 4 (Lebuhraya Persekutuan ke NKSB) dan Seksyen 7 (Assam Jawa ke Tanjung Karang).

“Apabila semua ini dibuka kelak, WCE dijangka mengurangkan kesesakan di PLUS secara signifikan, sekali gus menyokong sistem pengangkutan dan logistik negara secara menyeluruh,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!