BesutMaju bantu mangsa nahas bas di Gerik

SHAH ALAM - Pertubuhan BesutMaju tampil menyerahkan sumbangan kepada mangsa serta waris pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terlibat dalam nahas bas persiaran di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu.
Penasihat Pertubuhan BesutMaju, Tan Sri Rodzali Daud berkata, lawatan juga bertujuan menyatakan tanda solidariti dan memberi sokongan moral kepada mangsa serta keluarga terkesan.
Selain itu katanya, inisiatif tersebut selari dengan moto mereka iaitu BesutMaju cakna selain objektif penubuhannya yang sentiasa ambil berat terhadap musibah menimpa masyarakat khususnya warga Besut.
"Setakat 30 Jun lepas, kita berjaya mengumpulkan dana hampir RM30,000 melalui sumbangan ahli-ahli BesutMaju, rakan-rakan dan orang awam.
"Dana dikumpulkan turut disalurkan untuk membantu mangsa khususnya yang terselamat bagi meneruskan kehidupan seharian serta pengajian mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Terdahulu, Timbalan Pengerusi BesutMaju, Hazmin Mat Yusof mengiringi Rodzali menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa tragedi bas di Gerik pada bulan lepas.
Kongsinya, sebahagian mangsa terlibat dalam nahas itu adalah pelajar tahun satu, dua dan tiga yang memerlukan bantuan apabila kembali menyambung pengajian.
Justeru Rodzali memaklumkan, bantuan disalurkan turut mengambil kira keperluan jangka panjang termasuk pendidikan dan kelangsungan hidup mereka seperti pulang ke universiti dan sebagainya.
"Ada juga keluarga mangsa yang mungkin mahu menggunakan wang diberikan untuk melaksanakan majlis tahlil ataupun sumbangan wakaf.
"Jadi, inisiatif pertubuhan ini diharapkan memberi impak positif kepada mangsa serta keluarga dan membuka lebih banyak peluang bantuan pada masa akan datang," katanya.
Ujarnya, bantuan bukan sahaja tertumpu kepada keperluan semasa musibah tetapi juga bagi membina semula kehidupan terutama melibatkan golongan pelajar itu.
"Kita harap agar masyarakat terus menyokong usaha kebajikan BesutMaju supaya lebih ramai individu memerlukan dapat dibantu pada masa akan datang," tambahnya.
Selain lawatan tersebut Rodzali memaklumkan, pelbagai bentuk bantuan lain turut dilaksanakan BesutMaju kepada penduduk Besut termasuk ketika musim banjir, Ramadan dan Hari Raya
Jelasnya, aktiviti pertubuhan tidak hanya tertumpu kepada kerja-kerja kebajikan, malah turut merangkumi pengisian kerohanian dan motivasi kepada masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

