Lima cedera nahas bas ekspres, dua kereta

KOTA TINGGI – Lima individu cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan dua kereta di Jalan Kota Mersing, berhampiran Felcra Sungai Ara, di sini, malam Khamis.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Rafi Mohd Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.03 malam.
Jelas beliau, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi dikejarkan ke lokasi bersama sebuah jentera Fire Rescue Vehicle (FRV) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
"Setibanya pasukan bomba di lokasi, kemalangan membabitkan tiga kenderaan itu disahkan berlaku. Bas ekspres terbabit tidak mempunyai penumpang.
“Pemandu bas, Faizal Abd Samad, 47, tidak mengalami kecederaan, manakala empat individu dalam kedua-dua kereta Mercedes mengalami kecederaan pelbagai tahap,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, pemandu salah sebuah Mercedes, Che Nor Che Noh, 56, dan penumpangnya, Jarudah Alias, 50, mengalami kecederaan ringan.
“Dalam sebuah lagi kereta Mercedes, Mohd Sofian Zakaria, 36, mengalami luka di muka dan sakit di dada, Mohamad Zaki Zakaria, 36, cedera ringan, manakala Shamsuzy Mahasan, 38, mengadu sakit di dada dan tangan,” katanya.
Mohd Rafi berkata, orang awam bertindak pantas mengeluarkan semua mangsa sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
“Pasukan bomba memberikan rawatan awal dan menggunakan peralatan khas serta stretcher bagi mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit.
“Tiga mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi dengan ambulans, manakala dua lagi dibawa menggunakan jentera EMRS,” katanya.
Tambahnya, operasi menyelamat turut dibantu tiga anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan empat anggota polis bagi mengawal lalu lintas serta menjalankan siasatan.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.30 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

