DUN Selangor lulus RUU pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam

Mohammad Fahmi
Mohammad Fahmi
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2025 berkaitan Ahli Sunnah Wal Jamaah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

RUU tersebut disokong sebulat suara selepas dibahaskan oleh enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melibatkan pindaan kepada 10 fasal selepas ia dibacakan tiga kali.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, pindaan tersebut bertujuan menjelaskan kriteria pelantikan anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) selain ex-officio, Jawatankuasa Fatwa, Jawatankuasa Tauliah dan Jawatankuasa Rayuan Tauliah yang perlu dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menurutnya, bagi tujuan itu, tafsiran Ahli Sunnah Wal Jamaah dicadangkan untuk dimasukkan sebagai tafsiran baharu dalam Enakmen 1/2003.

"Dalam proses mewujudkan RUU ini, sesi libat urus telah dilaksanakan oleh MAIS dengan penglibatan pihak berkepentingan termasuk pengamal undang-undang dan jabatan atau organisasi berkaitan.

"Antara pihak yang terlibat dalam pindaan ialah Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Jabatan Mufti Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor dan Jabatan Pendakwaan Selangor.

"Selain itu, ia termasuk juga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Peguam Negara, ahli akademik dan lain-lain yang berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU berkenaan di sini pada Isnin.

Untuk rekod, ADUN yang memberi sokongan itu ialah Mariam Abdul Rashid (Meru), Abbas Salimmi Che Adzmi@Azmi (Seri Serdang), Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad (Lembah Jaya) dan Muhammad Izuan Ahmad Kasim (Kota Damansara) dari kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Manakala, dari pihak pembangkang ialah Mohd Shafie Ngah (Sungai Ramal), dan Nushi Mahfodz (Semenyih).

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pindaan itu juga sebagai mencegah pelantikan individu yang berpandangan ekstrem, liberal, atau cenderung kepada fahaman yang menyeleweng daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Ia juga bagi memastikan pentadbiran Islam di negeri ini selaras dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan prinsip Maqasid Syariah, khususnya dalam aspek pemeliharaan agama," katanya.

Beliau berkata, RUU tersebut juga sebagai menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin agar pindaan dilakukan dengan segera.

Ujarnya, ia bagi memasukkan peruntukan berhubung kedudukan dan tafsiran Ahli Sunnah Wal Jamaah kepada masyarakat Islam khususnya di Selangor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!