AI jadi perisai cegah ancaman siber

Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Muhamad Khairulnizam
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Muhamad Khairulnizam
A
A
A

SHAH ALAM - Teknologi kecerdasan buatan (AI) wajar diperluas sebagai mekanisme pengesanan di platform digital bagi mengesan sebarang tawaran yang berunsurkan jenayah dan melanggar undang-undang.

Pakar keselamatan siber, Profesor Madya Dr Muhamad Khairulnizam Zaini berkata, AI mempunyai keupayaan melakukan pengesanan dan pemantauan kandungan secara efisien dan berterusan.

“Ia termasuk mengenal pasti unsur penipuan, penyamaran serta promosi perkhidmatan yang melanggar undang-undang.

“Sistem ini berfungsi menyaring kandungan secara automatik. Jika ia mengandungi unsur penipuan atau melanggar garis panduan, kandungan itu akan disekat serta-merta sebelum sempat tular,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan sindiket kini semakin licik dengan menggunakan taktik halus seperti mencipta akaun palsu dan menghantar mesej peribadi bagi memperdaya mangsa, terutama individu yang terdesak akibat sekatan perjalanan.

Menurutnya, selain peranan AI, aspek penguatkuasaan juga penting menerusi undang-undang sedia ada, antaranya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang telah dipinda bagi membolehkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat laman sesawang serta kandungan haram.

“SKMM mempunyai kuasa menyekat dan menurunkan iklan palsu dan perkhidmatan tidak sah, termasuk tawaran pemadaman senarai hitam.

“Ini penting untuk mengekang penyebaran maklumat palsu yang boleh mengelirukan masyarakat,” jelasnya.

Beliau turut menyarankan agar agensi berkaitan seperti CyberSecurity Malaysia, SKMM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan kerjasama dalam memantau serta menyiasat penipuan digital yang melibatkan nama jabatan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Kes penyamaran sebegini sangat merbahaya. Ia bukan sahaja menjejaskan imej agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), malah membuka ruang kepada pencurian data dan penyalahgunaan identiti,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya hanya berurusan melalui saluran rasmi dan tidak mudah mempercayai individu tidak dikenali di media sosial yang kononnya menawarkan khidmat pemadaman senarai hitam.

“Orang awam perlu berhati-hati. Segala urusan imigresen hendaklah dilakukan di pejabat rasmi atau menerusi portal kerajaan yang sah.

“Jangan klik pautan mencurigakan atau menyerahkan maklumat peribadi kepada individu tidak dikenali,” tegas beliau.

Katanya, antara langkah penting yang boleh diambil pengguna ialah segera membuat laporan kepada PDRM melalui Scam Response Center, SKMM atau terus kepada JIM sekiranya menerima tawaran meragukan.

“Elakkan berkongsi pautan mencurigakan dan jika rasa tertipu, segera buat laporan sebelum maklumat peribadi disalah guna,” katanya.

Tambahnya, selain kerugian wang ringgit, penipuan sebegini turut berisiko menyebabkan kesan jangka panjang seperti pencurian identiti dan eksploitasi data peribadi.

Terdahulu, JIM menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam sebarang tawaran perkhidmatan pemadaman senarai hitam dan menjelaskan bahawa semua urusan rasmi hanya boleh dilakukan menerusi saluran yang diiktiraf kerajaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!