PDRM usaha tambah baik undang-undang kekang jenayah komersial

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berusaha menambah baik beberapa peruntukan undang-undang, selain mencadangkan beberapa seksyen baharu dalam undang-undang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, antara elemen penting dalam membanteras jenayah adalah kewujudan undang-undang yang relevan dan sesuai dengan situasi semasa.
"Maka dalam hal ini, JSJK sedang giat melaksanakan usaha untuk menambah baik beberapa peruntukan undang-undang selain mencadangkan beberapa seksyen baharu," katanya pada sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ di sini pada Rabu.
Ramli berkata, usaha itu bukan sesuatu yang baharu, malah pada tahun lalu, pihaknya berjaya melakukan pindaan terhadap Kanun Keseksaan dengan memasukkan peruntukan Seksyen 424A, 424B, 424C dan 424D (bagi mengatasi isu keldai akaun) dan Kanun Tatacara Jenayah dengan memasukkan peruntukan Seksyen 116D (bagi memberikan kuasa kepada pegawai polis untuk menyekat sesuatu urusan transaksi kewangan).
"Terkini, usaha sedang dilakukan untuk mewujudkan peruntukan undang-undang bagi beberapa kesalahan seperti merekrut orang menjadi pemegang keldai akaun; menyubahati kesalahan jenayah melibatkan premis termasuklah menyewa atau membenarkan premis milik mereka digunakan untuk tujuan jenayah dan pelucuthakan harta yang disita di bawah Kanun Keseksaan," katanya.
Beliau berkata, sekiranya diluluskan JSJK percaya peruntukan baharu itu berupaya untuk mengekang perlakuan jenayah secara lebih berkesan, selain mewujudkan kesedaran kepada masyarakat supaya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti jenayah komersial.
Ramli berkata, pihaknya komited untuk terus melipatgandakan usaha pembanterasan dan memperkasakan tindakan penguatkuasaan melalui siasatan yang lebih berkualiti.
"Pada masa yang sama, penglibatan secara aktif setiap lapisan masyarakat amat penting bagi memastikan mesej pencegahan serta informasi jenayah komersial dapat disebarkan dan seterusnya memastikan kewujudan persekitaran yang selamat dan terhindar dari ancaman jenayah komersial," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
