Anak tak minat sambung legasi

PASIR MAS - “Orang muda sudah tidak berminat, jadi saya teruskan juga bertani, walaupun usia sudah mencecah warga emas.”
Itu luahan Abdullah Yaacob, 76, yang masih setia mencurahkan keringat hampir lima dekad di tanah kelahirannya di Kampung Slow Teliar di sini.
Walaupun dimamah usia, Abdullah tetap gigih mengusahakan tanaman tembikai wangi, tembikai biasa, jagung dan sayur-sayuran.
Bertani bukan sekadar pekerjaan baginya, tetapi satu bentuk terapi yang menghidupkan semangat dan tubuh.
“Semasa muda dahulu, saya mampu mengusahakan hampir dua hektar tanah. Sekarang hanya tinggal 0.2 hektar saja yang mampu saya uruskan kerana faktor usia. Anak-anak suruh saya berehat, tapi saya rasa bertani ini menjaga kesihatan saya,” katanya kepada Sinar Harian.
Abdullah yang mempunyai tiga orang anak berusia 41 hingga 45 tahun berkata, tiada seorang pun daripadanya yang berminat meneruskan legasi pertanian keluarga tersebut.
Sebaliknya, semuanya bekerja makan gaji dan memilih haluan kerjaya berbeza.
“Yang tinggal meneruskan kerja pertanian cuma anak saudara lelaki saya umur 24 tahun, dan adik ipar saya yang berusia 54 tahun,” katanya.
Sementara itu, Abdullah berkata, cabaran bertani pada masa kini lebih mudah berbanding dahulu.
“Dahulu, petani menggunakan tenaga gabungan teknologi moden dan tradisional seperti cangkul, parang dan kerbau.
“Sekarang semuanya moden, dari menggemburkan tanah, buat batas, sehinggalah sembur racun dan sistem pengairan, semuanya guna mesin,” ujarnya.
Abdullah berkata, pertanian masih mampu menjana pendapatan lumayan jika diusahakan bersungguh-sungguh.
“Kalau kena caranya, satu musim tanam tembikai wangi, tembikai dan jagung pun boleh dapat sampai RM20,000,” katanya.
Walaupun hanya seorang warga emas, semangat Abdullah menjadi simbol kecekalan generasi berusia dalam memartabatkan pertanian di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

