Terperangkap persepsi salah tentang pertanian

KUANTAN - Bidang pertanian menjanjikan pulangan lumayan sekiranya dilakukan dengan sistematik, fokus dan mempunyai ilmu terhadap setiap tanaman diusahakan.
Atas keyakinan itulah Abdul Hafis Muhammad, 32, berani menyahut cabaran menceburi bidang pertanian sebagai antara punca pendapatan walaupun pekerjaan itu kurang popular dalam kalangan anak muda.
Petani muda dari Kampung Seri Damai di sini itu tidak menafikan ramai golongan muda masih ‘terperangkap’ dengan persepsi kononnya pertanian merupakan pekerjaan kotor, berat, memenatkan, berisiko dan tidak menguntungkan.
Dia yang mengusahakan tanaman jagung manis atas tanah sendiri seluas lebih 0.4 hektar bagaimanapun tidak menolak cabaran besar yang terpaksa dihadapi sepanjang menceburi bidang pertanian.
“Sebagai petani memang tidak boleh lari daripada masalah dan cabaran terutama yang di luar jangka yang merugikan.
“Tanaman tidak menjadi, kenaikan harga input, harga hasil yang tidak menentu, lambakan, serangan penyakit dan bermacam-macam lagi sudah lumrah.Atas sebab inilah mungkin punca ramai anak muda tidak berminat ceburi bidang pertanian, sebaliknya lebih suka makan gaji,” katanya kepada Sinar Harian.
Lulusan Institut Pertanian Bumbong Lima, Pulau Pinang itu berkata, segala cabaran dan masalah dapat diatasinya dengan ilmu dan strategi yang betul.
“Saya mula ceburi bidang pertanian ini pada tahun 2009 dengan mengusahakan sebidang tanah bersama salah seorang adik. Tapi sebelum itu, sekitar 2006 lagi saya sudah mula berjinak-jinak dengan membantu keluarga.
“Selepas tamat pengajian di Institut Pertanian Bumbong Lima pada tahun 2013, saya meneruskan aktiviti pertanian ini dengan memilih tanaman jagung manis hingga kini,” ujarnya.
Walaupun enggan mendedahkan hasil pendapatan diperoleh, namun bapa kepada dua anak itu mengakui segala diusahakan berbaloi setiap kali musim menuai hasil.
“Jagung manis ini ada potensi agak baik kerana ia dapat ditanam tiga hingga empat kali setahun selain permintaan tinggi dan harga yang memuaskan,” katanya yang turut mendapat bantuan geran daripada agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Ambil alih tanaman jagung manis milik keluarga
KUALA KANGSAR - Nekad meneruskan perusahaan kecil tanaman jagung milik keluarga membuahkan hasil bagi seorang anak muda apabila mampu menjana pendapatan ribuan ringgit.

Muhammad Hafizie Alwi, 28, bagaimanapun berkata, kejayaan hari ini tidak datang bergolek apabila perlu melalui pelbagai cabaran ketika mengambil alih sepenuhnya kebun jagung seluas 0.8 hektar, empat tahun lalu.
“Sebelum ini saya bekerja di stesen minyak, jadi tidak mempunyai ilmu asas dalam pertanian menyebabkan saya tidak tahu bagaimana untuk menangani serangan penyakit tanaman dan peralatan yang sesuai digunakan.
“Saya kemudian merujuk kepada Jabatan Pertanian Perak bagi mendapatkan bimbingan dari segi kaedah, bantuan dan penggunaan baja yang betul bagi menghasilkan jagung yang baik dan banyak,” katanya kepada Sinar Harian.
Anak jati Lubuk Merbau itu berkata, dengan bimbingan berterusan daripada pegawai pertanian, dia kini mengusahakan ladang jagung manis seluas 8.5 hektar untuk pasaran negara dan dibantu tiga pekerja.
Menurutnya, kerajaan juga menyediakan pelbagai kemudahan bagi membantu petani muda sepertinya.
“Namun, untuk mendapatkan geran bukanlah mudah kerana jabatan terlibat perlu melakukan pemantauan selama enam bulan untuk melihat sejauh mana usaha kita menceburi bidang ini.
“Saya mohon geran agropreneur muda tahun lalu dan tahun ini baru dapat. Menerusi geran itu, saya memperoleh pelbagai bantuan terutama peralatan seperti pam air, polipaip, baja dan racun yang membantu tanaman dan penghasilan jagung yang baik,” katanya.
Ladangnya kini dapat menghasilkan sekitar 280,000 tongkol jagung manis setiap musim dengan pulangan mencecah RM9,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
