Meremajakan sektor pertanian perlukan kesungguhan

Sektor pertanian menjanjikan pulangan lumayan sekiranya dilakukan secara sistematik dengan ilmu-ilmu pertanian moden. Gambar hiasan
Sektor pertanian menjanjikan pulangan lumayan sekiranya dilakukan secara sistematik dengan ilmu-ilmu pertanian moden. Gambar hiasan
A
A
A

SEKURITI makanan dan industri pertanian saling berkait rapat.

Pun begitu, laporan Banci Pertanian 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mendedahkan hampir separuh daripada petani di negara ini terdiri daripada golongan yang berusia 60 tahun ke atas, suatu dapatan yang membimbangkan.

Walaupun golongan warga emas ini akan terus memerah kudrat mereka untuk bertani, struktur demografi pengusaha pertanian dalam negara yang semakin menua memberi gambaran awal tentang keperluan mendesak meremajakan sektor ini.

Kebimbangan ini turut disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang menyifatkan hal ini berlaku kerana generasi muda kurang berminat menyertai sektor pertanian.

Walaupun sektor pertanian menjanjikan pulangan lumayan sekiranya dilakukan dengan sistematik dengan ilmu-ilmu pertanian moden, ramai dalam kalangan anak muda masih terperangkap dengan persepsi salah tentang pertanian dan selesa memilih untuk makan gaji.

Anak muda pada hari ini masih menganggap pertanian adalah pekerjaan kotor, berat, memenatkan malah berisiko dan tidak menguntungkan.

Malah mereka jua merasakan ia bidang yang sukar diceburi kerana akses kepada tanah dan modal yang terhad. Untuk memulakan projek pertanian moden, sudah semestinya memerlukan modal yang agak besar dan hal ini tidak mudah dijayakan tanpa sokongan.

Selain mengubah mentaliti bahawa pertanian bukanlah tentang pekerjaan berpanas di bawah terik mentari, paling penting adalah bagaimana kerajaan dan institusi berkaitan berperanan dalam memberi galakan dan sokongan yang sebenar kepada anak muda kita untuk berkecimpung dalam pertanian moden.

Ya benar, kerajaan perlu bertindak lebih agresif. Bukan sekadar kempen bermusim, tetapi pelan tindakan jangka panjang yang mampu mengubah persepsi dan realiti. Kita tidak boleh membiarkan petani tua terus memerah kudrat sendirian sementara ada anak muda kita yang masih menganggur kerana terlalu memilih pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Tekankan kepada anak muda kita, pertanian adalah tentang teknologi, keusahawanan dan inovasi dan jangan lupa, sokong mereka dengan akses kepada tanah, modal permulaan, latihan serta jaminan pasaran.

Jika kita benar-benar serius mahu jaga perut rakyat, maka kita perlu pastikan ladang dan sawah tidak dibiarkan kosong satu hari nanti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!