Struktur bangunan, modul pengajian, pemilikan tanah faktor banyak pondok tidak berdaftar

KUALA KRAI - Struktur bangunan, modul pengajian dan pemilikan tanah menjadi antara faktor banyak pondok di negara ini tidak berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri masing-masing sehingga sukar untuk kerajaan menghulurkan bantuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, kerajaan memperuntukkan RM150 juta dalam belanjawan 2025 melibatkan pembangunan pondok dan semua istitusi pendidikan agama.
"Namun disebabkan tiga faktor tersebut masih banyak yang belum mendaftar. Ini kerana sebelum mendaftar pihak JBPM (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia) perlu memeriksa dan memberikan kelulusan terhadap struktur bangunan yang ada pada pondok terlibat.
"JBPM akan menilai dari segi pendawaian, bangunan yang dibina selamat didiami atau tidak," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.
Sebelum itu beliau hadir merasmikan Wacana Dakwah Al-Falah Memacu Ummah Madani Bersama Institusi Pondok di Pondok Sungai Durian di sini.
Menurut beliau selain itu, faktor modul pengajian dimana tidak mahu terikat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyebabkan ada pusat pengajian enggan berbuat demikian.
Ujarnya, hal ini kerana Jakim akan menjalankan pemantauan dari segi sudut kurikulum dan sebagainya.
Mohd Na'im memberitahu, faktor seterusnya ialah isu pemilikan tanah yang banyak berlaku dalam kalangan pondok.
"Bagi memastikan pondok-pondok ini dapat diselenggarakan dengan baik dan mendapat bantuan daripada kerajaan Persekutuan.
"Saya mengajak institusi pondok yang belum berdaftar untuk berbuat demikian. Di Kelantan sahaja terdapat 46 pondok yang berdaftar itu belum lagi di seluruh negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

