'Najib berhak diadili ikut perlembagaan' - Noh Omar

TANJONG KARANG – Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Noh Omar menegaskan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak perlu dilihat sebagai rakyat biasa yang berhak mendapat keadilan mengikut perlembagaan, bukan semata-mata sebagai bekas Perdana Menteri.
Beliau berkata, tindakan kerajaan meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan seolah-olah menafikan hak asasi Najib sebagai rakyat biasa, walaupun telah menerima pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.
“Jangan pandang beliau hanya sebagai bekas Perdana Menteri, sebaliknya sebagai rakyat Malaysia yang telah melalui proses undang-undang dan diberikan pengampunan oleh Agong.
“Kenapa hak dia sebagai rakyat tidak dihormati? Mengapa titah Agong seolah-olah tidak dilaksanakan?" katanya ketika ditemui selepas Persidangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjong Karang di sini pada Ahad.
Noh memberitahu, kerajaan digesa agar tidak mempermainkan kuasa dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong dalam isu terbabit, apatah lagi pengampunan sudah diberikan secara rasmi.
“Kalau dulu semua berebut nak dekat dengan Agong, kenapa sekarang bila Agong sudah titah, keputusan Mahkamah Rayuan pun dah keluar, tapi kerajaan masih nak rayu?
“Ini bukan soal undang-undang lagi, ini soal menghormati institusi, jangan sampai rakyat hilang kepercayaan pada sistem,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, isu itu bukan sekadar soal politik atau kedudukan Najib sebagai tokoh negara, tetapi melibatkan beberapa persoalan penting yang membabitkan prinsip keadilan dan kedaulatan negara.
"Kalau perkara ini tidak dihormati, kita sebenarnya sedang mencabar sistem Raja Berperlembagaan yang jadi asas negara,” tegas beliau.
Noh turut membandingkan isu itu dengan kes kalimah Allah yang sebelum ini ditarik balik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) setelah Mahkamah Tinggi membuat keputusan.
“Masa kes kalimah ALLAH, rayuan boleh dihentikan, tapi kenapa dalam kes Najib masih diteruskan?
“Ini yang mengundang persoalan adakah ini soal prinsip, atau ada tangan-tangan politik?” katanya.
Noh turut menyatakan rasa terharu apabila dipilih sebagai saksi dalam kes Najib meskipun tidak lagi menganggotai UMNO kerana percaya perjuangan beliau bukan demi parti, tetapi untuk keadilan.
“Saya bukan ahli UMNO, tapi Najib tetap percaya saya sebab pegang pada prinsip keadilan mesti ditegakkan untuk semua, tak kira siapa,” kata Noh.
Noh menjelaskan, tahanan di rumah bukanlah satu pembebasan, sebaliknya masih dalam ruang pelaksanaan hukuman yang lebih berperikemanusiaan seperti diamalkan di negara-negara lain.
“Beri ruang Najib jalani hukuman di rumah, beliau bukan lari daripada hukuman, tapi sudah diberi pengampunan dan pertimbangan khas oleh Agong,” katanya.
Noh turut menyeru pemimpin UMNO dalam kerajaan untuk berani bersuara mempertahankan prinsip Perlembagaan dan menghentikan rayuan terhadap isu addendum.
“Kalau UMNO masih punya jiwa perjuangan, ini masanya untuk buktikan tidak tunduk kepada tekanan politik,” tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

