Isu kesihatan awam perlu dilihat secara holistik

KUALA LUMPUR - Pendekatan pengurangan kemudaratan dalam isu kesihatan awam perlu dilihat secara holistik dan selari dengan prinsip syariah Islam.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, ia selari dengan maqasid keamanan di samping Maqasid al-Shariah, terutamanya prinsip hifz al-nafs (memelihara nyawa) dan raf‘ al-haraj (meringankan kesusahan).
“Dalam Islam, memelihara nyawa bukan sekadar keutamaan, ia adalah perintah ALLAH. Usaha yang mencegah kemudaratan dan memulihkan maruah individu harus dilihat sebagai satu bentuk rahmah dan amanah kolektif,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pembentangannya ketika Persidangan Meja Bulat mengenai Pendekatan Pengurangan Kemudaratan di ibu negara pada Selasa.
Turut hadir adalah Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Ahmad Fauwaz berkata, dalam Islam tidak ada sesuatu perkara yang boleh dihukum halal atau haram secara mutlak tanpa melihat konteks dan kesan penggunaannya.

Dalam pada itu, Ahmad Fauwaz berkata, prinsip sama boleh diguna pakai dalam isu rawatan pencegahan seperti pemberian Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) yang bertujuan mencegah jangkitan HIV termasuk kepada pasangan atau individu tidak bersalah.
“PrEP bukan isu mutlak kerana kita perlu lihat kepada niat dan kesannya. Jika ia digunakan untuk melindungi orang lain daripada jangkitan, ia boleh membawa manfaat, tetapi kawalan dan pendekatan kepada masyarakat perlu teliti dan berhati-hati.
“Penggunaan PrEP perlu diperkemaskan dari sudut perundangan dan pelaksanaan supaya tidak disalahguna atau disalah tafsir kerana kita mesti menjaga agama dan reputasi negara,” tegas beliau.
Malaysia kehilangan RM64.2 bilion setahun
Sementara itu, Fellow Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhammed Abdul Khalid berkata, strategi pendekatan dalam pencegahan dan pengurangan kemudaratan terhadap isu kesihatan awam perlu dilihat bukan hanya sebagai isu kesihatan semata-mata tetapi menerusi konteks ekonomi serta kewangan.
Muhammed berkata, Malaysia kehilangan RM64.2 bilion setahun bersamaan lebih kurang empat peratus daripada ekonomi negara akibat penyakit yang boleh dicegah seperti diabetes, penyakit jantung dan HIV bukan hanya dari segi kos rawatan tetapi juga kehilangan produktiviti, kehadiran kerja dan kematian awal.

“Apabila kita melabur dalam pencegahan termasuk pengurangan kemudaratan, kita bukan sahaja menyelamatkan nyawa tetapi melindungi ekonomi negara untuk jangka panjang.
“Kita selalu dengar kenyataan mengatakan mencegah lebih baik daripada mengubati, tetapi kita tidak melaksanakannya secara menyeluruh,” katanya.
Muhammed berkata, daripada jumlah RM64 bilion itu, hanya RM12 bilion melibatkan kos langsung untuk rawatan dan ubat-ubatan.
“Sebanyak RM52 bilion lagi adalah kerugian produktiviti akibat pesakit tidak bekerja atau bekerja dalam keadaan tidak berfungsi sepenuhnya,” jelas beliau.
Dalam masa sama, beliau turut menegur tindakan kerajaan yang masih mengekalkan subsidi kepada pengeluar gula sedangkan negara sedang berdepan krisis kesihatan membabitkan obesiti dan diabetes.
Ujarnya, Malaysia antara negara yang memberi subsidi gula bukan sahaja kepada rakyat tetapi kepada pengeluar.
“Kita antara negara yang paling gemuk di Asia, tapi kerajaan terus beri subsidi kepada punca penyakit. Contohnya negara Thailand dan Finland berjaya melaksanakan dasar kawalan kandungan gula dan garam dalam makanan bagi menurunkan kadar penyakit tidak berjangkit atau non-communicable diseases (NCD) secara berkesan,” katanya.
Beliau berkata, kajian menunjukkan pulangan pelaburan yang besar sekiranya pencegahan menyeluruh di lakukan, contohnya RM1 yang dilaburkan untuk pengurangan pengambilan garam dapat memberi pulangan sebanyak RM60 dalam tempoh 15 tahun.
Sementara itu, dari sudut keadilan sosial pula, Muhammed berkata, golongan B40 paling terkesan dengan beban kesihatan kerana ramai tidak menyedari mereka sebenarnya sudah menghidap penyakit.
Sehubungan itu, Muhammed mencadangkan kerajaan menyusun semula dasar kesihatan awam dengan mengambil kira logik ekonomi dalam pendekatan pengurangan mudarat dan pencegahan.
“Kalau kita serius mahu atasi NCD, kerajaan seharusnya tumpu pada faktor utama seperti mengurangkan perokok, dan pengambilan garam dan gula.
“Ini ialah pendekatan paling murah dan memberikan kesan besar kerana pencegahan bukan sekadar isu perubatan atau kesihatan awam, tetapi juga merupakan strategi ekonomi dan penting untuk pertumbuhan ekonomi dan fiskal kewangan yang baik dan adil,” tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
