Tiada tempat selamat buat pemimpin AS, Israel - Ikrar 12,700 profesor Iran

Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei bertemu dengan sekumpulan profesor dari Universiti Teheran (UT).-Gambar fail- Agensi
Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei bertemu dengan sekumpulan profesor dari Universiti Teheran (UT).-Gambar fail- Agensi
A
A
A

TEHERAN – Seramai 12,741 profesor universiti di seluruh Iran mengutuk sekeras-kerasnya ugutan yang disifatkan sebagai 'biadab dan tidak beradab' oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu terhadap Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei.

Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Sabtu, kesemua anggota Pertubuhan Profesor Basij itu memberi amaran bahawa sebarang tindakan jahat dan penghinaan terhadap Ayatollah Khamenei akan membawa 'kos yang tidak dapat dijangka'.

“Tidak akan ada tempat yang selamat di Iran, rantau ini mahupun di mana-mana sahaja di dunia bukan sahaja untuk presiden dan individu yang mengarahkan tindakan tersebut, tetapi juga kepada semua ejen tentera pengganas Amerika Syarikat,” tegas kenyataan itu.

Mereka turut memberi amaran kepada rejim Zionis yang disifatkan sebagai ‘pembunuh kanak-kanak’ serta sekutu Baratnya bahawa tindakan angkuh yang melampau hanya akan mencetuskan peperangan berpanjangan dan kempen kehancuran yang tiada penghujung.

Golongan akademik itu turut menyeru para cendekiawan, intelektual, pengamal media dan penulis untuk bangkit menunaikan tanggungjawab mereka dengan menyuarakan sokongan kepada pemimpin umat Islam dan memberi pencerahan kepada masyarakat Islam serta penduduk di seluruh dunia.

Pada 13 Jun lalu, Israel melancarkan serangan ke atas Iran, yang mengakibatkan beberapa pegawai kanan tentera dan saintis nuklear negara itu terbunuh.

Sembilan hari kemudian, pada 22 Jun, Amerika Syarikat secara rasmi menyertai perang agresif Israel dengan melancarkan serangan ke atas tiga fasiliti nuklear di Iran satu tindakan yang melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT).

Bagaimanapun, pada 24 Jun, rejim Israel yang semakin terasing akhirnya mengumumkan gencatan senjata secara sebelah pihak. Pengumuman itu dibuat oleh Presiden Trump mewakili sekutunya itu.-Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!