Trump pendamai atau kucar-kacirkan dunia?

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pernah mengisytiharkan legasi yang menjadi kebanggaannya sebagai 'pendamai dan penyatu'.
Menerusi ucapannya ketika kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu, beliau juga dengan yakin berikrar untuk memastikan pentadbirannya menghentikan semua peperangan dan membawa semangat perpaduan baharu kepada dunia.
Kira-kira lima bulan selepas itu, Trump bergelut membina imej sebagai 'pendamai dunia', namun ia semata-mata untuk meraih perhatian dan mencari glamor di peringkat antarabangsa dan bukannya untuk mencari jalan penyelesaian sebenar kepada konflik.
Ibarat janji tinggal janji, pentadbiran Trump terus dikritik kerana sibuk campur tangan dalam beberapa konflik termasuk memburukkan lagi peperangan Iran-Israel yang tercetus selama 12 hari.
Pada mulanya, Trump memberikan tempoh 14 hari kepada Teheran, namun beliau sekali lagi membuat pusingan U apabila melancarkan serangan udara mengejut ke atas kemudahan nuklear Iran hingga mengundang resah kepada komuniti global jika konflik itu merebak ke rantau lain hingga mencetuskan Perang Dunia Ketiga.
Kebimbangan ramai itu jelas mempamerkan agenda keamanan Trump yang bercelaru dan kucar-kacir dek pendirian tidak tetap pemimpin tersebut.
Ketika cuba meredakan krisis Iran-Israel, Trump tanpa rundingan dengan kedua-dua belah pihak mengumumkan gencatan senjata syok sendiri.
Tempoh bertenang yang agak goyah itu akhirnya diterima Iran walaupun pada awalnya terdapat percanggahan tentang kesepakatan tersebut manakala Tel Aviv hanya mengikut telunjuk sekutunya.
Trump sekali lagi mampu tersenyum lebar kerana peperangan itu berjaya dihentikan atas 'usahanya' selepas gencatan senjata dicadangkan beliau turut meredakan sengketa India-Pakistan pada April lalu.
Cakap kosong
Pada Jumaat, Trump mengumumkan tempoh bertenang yang dinantikan semua pihak bakal dicapai antara Hamas dan Israel sedangkan beberapa pusingan rundingan sebelum ini hanya menemui jalan buntu.
Beliau dengan yakin menyatakan tentang 'kemajuan positif' tersebut tanpa memberikan butiran lanjut ketika rejim Zionis terus memperhebatkan kempen pengeboman ke atas Genting Gaza.
Beberapa laporan mendakwa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mungkin terpaksa akur dengan syarat tempoh bertenang dicadangkan beliau sebagai pertukaran dengan perjanjian untuk menormalisasikan hubungan bersama negara Arab seperti yang dilaksanakan di bawah Perjanjian Abraham diperkenalkan Trump ketika penggal pertama pentadbirannya di Rumah Putih.
Sewaktu kempen pilihan raya, Trump mencanangkan kepada penyokongnya bahawa beliau akan menamatkan Perang Rusia-Ukraine dalam tempoh 24 jam selepas kembali ke Rumah Putih.
Sehingga kini, tiada tindakan diambil malah konflik antara kedua-dua negara bekas Kesatuan Soviet itu terus meningkat malah beliau secara terang-terangan 'menolak' Kiev yang sebelum ini bergantung penuh kepada bantuan disalurkan pentadbiran pendahulunya, Joe Biden.
Beberapa pakar melihat salah satu masalah utama menyebabkan pelan Trump caca marba kerana tiada pelan koheren disebabkan kenyataan dan tindakannya yang sering berubah-ubah mengikut 'mood'.
“Pendekatannya terhadap rundingan damai sangat bersifat peribadi dan dipacu oleh kecenderungan serta keutamaan dirinya sendiri. Oleh itu, apa yang dikatakan olehnya hanyalah cakap kosong,” ujar Pakar Hal Ehwal Asia Barat di Chatham House, Neil Quilliam.
Terbaharu, Trump meneruskan lagi peranan beliau sebagai 'pendamai dunia' selepas cuba menjadi perantara perjanjian damai antara Republik Demokratik Congo (DRC) dan Rwanda.
“Kami berjaya menamatkan peperangan yang berlarutan selama tiga dekad dan meragut enam juta nyawa. Tiada Presiden lain yang mampu lakukan hal ini,” katanya dengan angkuh.
Beberapa pengkritik beliau percaya mungkin ada udang di sebalik batu atas campur tangan itu memandangkan timur DRC kaya dengan sumber mineral yang bakal membuka jalan kepada kepentingan Amerika di rantau tersebut.
Pelbagai inisiatif damai yang dilakukan Trump setakat suku kedua 2025 dilihat sebagai strategi politik beliau untuk mengukuhkan imejnya sebagai 'tokoh pendamai' terhebat pada abad ke-21 atau mungkin juga sebahagian daripada kempen melobi bagi pencalonan Hadiah Nobel Keamanan.
Motto beliau, 'keamanan melalui kekuatan' telah mencetuskan ketidaktentuan dalam kalangan komuniti antarabangsa meskipun beliau berjanji untuk menjadikan dunia lebih selamat.
Hal ini kerana pendirian Trump yang cakap tak serupa bikin menjadikan situasi global semakin sukar diramal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

