'Kami bukan samseng, hanya jalankan tugas'

Sebelum tindakan diambil, ejen penarik kereta perlu melalui beberapa prosedur termasuk membuat pengesahan dengan bank. Gambar hiasan
Sebelum tindakan diambil, ejen penarik kereta perlu melalui beberapa prosedur termasuk membuat pengesahan dengan bank. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sering dilabel sebagai ‘samseng’, ejen penarik kenderaan atau ejen perolehan semula (EPS) tampil menegaskan bahawa mereka hanya menjalankan tugas mengikut arahan sah daripada pihak bank dan bukannya mencuri atau bertindak sewenang-wenangnya.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Ejen Perolehan Semula Malaysia, Asrul Effendi berkata, ramai yang tidak memahami tugas EPS yang hanya bertindak apabila pemilik kenderaan gagal mematuhi kontrak.

Menurutnya, sebelum tindakan diambil, ejen penarik kereta perlu melalui beberapa prosedur termasuk membuat pengesahan dengan bank.

“Kami bukannya sesuka hati mahu tarik kereta, perlu ikut prosedur. Biasanya kami akan menerima senarai nama peminjam yang gagal membuat pembayaran dalam tempoh yang ditetapkan dan kemudian membuat pengesahan terakhir sebelum tindakan diambil.

“Bukan mudah untuk tarik kereta, silap-silap nyawa boleh melayang. Berdasarkan pengalaman, saya pernah diugut dengan parang, dikepung beramai-ramai dan dipukul, sedangkan kami hanya menjalankan tanggungjawab.

“Sepatutnya mereka faham, kami tidak akan bertindak sedemikian sekiranya individu berkenaan tidak melanggar kontrak pembayaran dengan bank,” ujarnya kepada Sinar Ahad.

Tambahnya, persepsi negatif timbul akibat kurangnya kefahaman masyarakat terhadap proses sebenar penarikan kenderaan, ditambah pula dengan penyebaran video tular yang hanya memaparkan detik-detik tegang.

Jelasnya, kebanyakan video yang tular di media sosial hanya merakam saat-saat ejen menjalankan tugas tanpa menunjukkan dokumentasi yang telah disemak atau rundingan yang dilakukan terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

“Cuma saya berharap orang ramai faham, kami sebagai penarik kereta bukannya pencuri dan tidak melakukan kesalahan atau melanggar undang-undang negara.

“Oleh sebab itu, saya paling suka apabila polis turut hadir semasa penarikan kerana ia memudahkan kerja kami,” ujarnya.

Asrul turut mencadangkan agar permohonan perintah mahkamah dipermudah dan dipercepatkan bagi membantu EPS menjalankan tugas secara sah, selamat dan tanpa konflik.

“Kita bukan mahu langgar undang-undang atau masuk sesuka hati. Tetapi apabila kenderaan berada di kawasan tertutup yang dijaga pengawal keselamatan, ejen tidak dibenarkan masuk walaupun mempunyai surat daripada bank.

“Jadi, satu-satunya jalan ialah mendapatkan perintah mahkamah. Kadang-kadang proses mendapatkan perintah itu terlalu lama sehingga menjejaskan operasi serta menyebabkan tunggakan peminjam terus meningkat,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!