Pernah dipukul, dikejar parang ketika tarik kereta

SHAH ALAM – Berpengalaman selama 29 tahun sebagai ejen penarik kereta, A Susilan M Athimolam, 59, pernah dipukul orang kampung dan terpaksa mengundurkan diri demi keselamatan.
Menurutnya, kerja menarik kenderaan bukan semudah yang disangka, apatah lagi sekitar 20 hingga 25 tahun dahulu suasananya jauh lebih tegang dan mencabar berbanding sekarang.
“Masa itu saya memang tiada kerja. Kawan ajak ikut dia buat kerja tarik kereta, saya pun ikut. Tak sangka daripada situ saya terus kekal sampai sekarang. Sudah 29 tahun.
“Dulu-dulu, bila pergi kawasan kampung, orang kampung akan berkumpul dan halang kami. Mereka tidak benarkan kereta ditarik. Bila ramai-ramai datang, kami pun tidak boleh buat apa-apa,” katanya kepada Sinar Ahad.
Dalam satu kejadian, Susilan berkata, dia pernah dipukul oleh individu tertentu dan terpaksa membuat laporan polis demi keselamatan diri.
Bagaimanapun, katanya, bukan semua kes penarikan kenderaan berakhir dengan kekecohan.
Ada ketikanya, dia berdepan dengan pemilik kenderaan yang merayu dan menangis agar tindakan ditangguhkan.
“Memang ada yang merayu, menangis. Kalau boleh bantu, kami bantu. Ada juga yang kami bawa ke bank untuk buat bayaran, selepas itu kami hantar mereka pulang. Tapi jika bank arah teruskan, kami tetap kena tarik. Bila kereta sudah masuk stor, barulah kami dapat upah,” jelasnya.
Menurut Pengerusi Kebajikan dan Kemajuan Ejen Perolehan Semula VTRB Malaysia itu, kerja tarik kereta memerlukan hati yang kental namun tetap berperikemanusiaan.
Susilan turut menyuarakan harapannya agar kerja sebagai ejen penarik kenderaan diiktiraf dan diberi perlindungan sewajarnya.
“Kami tiada perlindungan langsung. Kalau berlaku apa-apa, cuma boleh buat laporan polis. Kami bukan mahu cari gaduh, tapi kerja ini berisiko tinggi. Kalau boleh, kerajaan patut fikirkan satu bentuk perlindungan untuk kami,” ujarnya.
Walaupun usia semakin lanjut, Susilan tetap meneruskan kerja tersebut dengan penuh tanggungjawab.
Perkara sama turut dialami oleh seorang lagi ejen penarik kereta di Pulau Pinang yang hanya mahu dikenali sebagai Fikri, 38, yang pernah dikejar dengan kayu besbol dan diugut dengan parang semasa menjalankan tugas.
Menurutnya, tanggapan umum bahawa tugas mereka ‘menyusahkan orang’ atau ‘ambil barang orang susah’ adalah tidak adil kerana mereka hanya menjalankan amanah daripada institusi kewangan.
“Kami bukan datang sesuka hati untuk tarik kereta orang. Prosedur panjang telah dijalankan. Surat, panggilan telefon, notis semuanya selesai, barulah kerja penarikan dilakukan. Tapi bila sampai, kami yang dimarahi dulu.
“Antara cabaran utama ialah apabila berdepan dengan pemilik kenderaan yang terlalu emosi dan hilang pertimbangan. Pernah berlaku, pemilik keluar membawa kayu besbol. Satu lagi kes, seorang lelaki keluar dari rumah dengan parang panjang. Saya dan rakan terus lari naik lori, selamatkan diri.
“Ada yang menangis dan merayu, ada juga yang naik angin. Paling menakutkan bila ada yang ugut dan kejar dengan senjata. Ada juga kes baling botol kaca dari tingkat atas. Kami memang perlu bersedia secara fizikal dan mental,” katanya.
Tambah Fikri, masyarakat perlu faham bahawa ejen penarik kenderaan tidak mempunyai kuasa mutlak.
Semua tindakan mesti mematuhi syarat kontrak, undang-undang dan berada di bawah seliaan bank atau institusi kewangan.
“Kami bawa surat dan dokumen sah. Bukan boleh main tarik sahaja. Kalau mereka datang berbincang elok, kami pun akan bantu sampaikan kepada pihak bank,” katanya.
Fikri berharap masyarakat lebih terbuka dan tidak mudah melenting apabila berdepan situasi sebegini.
Ujarnya, jika menghadapi masalah pembayaran, lebih baik berunding lebih awal dengan pihak bank sebelum tunggakan meningkat.
“Kadang-kadang kasihan tengok orang bawa anak kecil, ibu mengandung, menangis dalam kereta masa nak ditarik. Tapi kerja tetap kerja. Kami harap orang ramai jangan cepat menghukum,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!