Perdagangan intra-BRICS perlu dipertingkat - Anwar

SHAH ALAM - Perdagangan Intra-BRICS perlu dipertingkatkan bagi membolehkan rundingan adil dan berkesan dapat dilaksanakan dengan pihak berkepentingan secara multilateral.
Pendekatan berkenaan merujuk kepada aktiviti perdagangan yang berlaku di ahli BRICS tanpa melibatkan negara luar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut bagi memastikan negara BRICS dapat menyuarakan suara dari posisi yang lebih tinggi berbanding pihak lain.
“Kita mesti meningkatkan perdagangan intra-BRICS kerana kita mempunyai potensi yang sangat besar untuk berkembang.
“Hanya dengan kekuatan itu baru kita berunding secara selamat serta adil dengan rakan dagang (blok ekonomi) lain melalui kerjasama multilateral.
“Kita juga perlu menuntut perubahan yang demokratik dan adil daripada pertubuhan multinasional. Daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hinggalah kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam sesi Forum Perniagaan BRICS 2025 menerusi siaran langsung di platform digital pada Sabtu.
Menurut Menteri Kewangan itu, isu melibatkan kerjasama multilateral turut dibincangkan melalui sidang ASEAN baru-baru ini.
Ujarnya, antara yang ditekankan adalah kepentingan pendekatan ASEAN secara kohesif dalam isu tersebut dan amalan prinsip kepusatan (‘centrality’) dalam ASEAN.
“Sudah tentu, ia bukan melalui cara retorik dengan kata-kata kosong dan kenyataan politik semata-mata. Ia mesti melalui tindakan yang konkrit.
“Sebab itu tonggak dalam ASEAN ialah komuniti perniagaan. Kita meningkatkan perdagangan intra ASEAN, sekarang kita mesti meningkatkan perdagangan intra BRICS,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!