Pelan digitalisasi perkasa gerakan koperasi negara

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Gerakan koperasi negara terus diperkasakan menerusi Pelan Digital Koperasi Malaysia 2030 sebagai antara tunjang utama pemerkasaan koperasi di era digital, selari dengan dasar-dasar pembangunan ekonomi negara.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, usaha itu turut disokong melalui dasar lain seperti Dasar Koperasi Malaysia (DAKoM) 2030 dan Dasar Keusahawanan Nasional 2030, yang menjadi panduan dalam meningkatkan kompetensi serta keberdayaan koperasi di seluruh negara.
“Pelaksanaan pelan digital ini penting dalam memperkukuh sektor koperasi sebagai sektor ekonomi ketiga negara. Ia juga membolehkan koperasi meningkatkan daya saing dan relevan dalam ekosistem ekonomi digital semasa,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Mesyuarat Agung Perwakilan Angkasa ke-39 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.

Mesyuarat Agung Perwakilan kali ini menyaksikan kehadiran hampir 5,000 perwakilan koperasi dari seluruh negara dan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul.
Beliau turut menjelaskan, bagi menyokong pelan ini, Angkasa telah memperkukuh pelaksanaan program BA100 iaitu inisiatif membangunkan sektor peruncitan secara digital.
“Sehingga Mei 2025, sebanyak 3,591 buah outlet telah berdaftar di bawah program ini, melebihi sasaran awal iaitu 3,000 outlet. Angkasa menyasarkan nilai jualan mencecah RM375 juta menjelang tahun 2030,” katanya.
Tambah beliau, sokongan kerajaan terhadap gerakan koperasi jelas apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM6 juta hasil daripada resolusi Kongres Koperasi Kebangsaan Ketiga yang dianjurkan Angkasa.
Peruntukan tersebut dimanfaatkan menerusi pelbagai inisiatif termasuk Program Jualan Rahmah Madani (Angkasa), Program Sejati Madani serta pelaksanaan Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET).
“Ini adalah bukti penghormatan dan kepercayaan kerajaan terhadap peranan koperasi sebagai pemacu pembangunan ekonomi negara,” katanya.
Bagi meluaskan penglibatan koperasi dalam sektor perniagaan, beliau berkata, Angkasa menyasarkan penglibatan 850 koperasi dalam projek AngkasaMart menjelang 2030.
“Sasaran lain termasuk 4,295 koperasi yang terlibat dalam produk OEM Angkasa, 15 koperasi bagi program CoopFarmasi dan 100 koperasi dalam program CoopUmrah,” jelas beliau.
Dalam masa sama, koperasi sekolah juga menunjukkan pencapaian membanggakan apabila 42 buah koperasi telah merekodkan perolehan lebih RM1 juta manakala dua lagi mencapai angka RM2 juta.
“Inilah bukti bahawa koperasi di peringkat akar umbi seperti sekolah mampu berkembang maju dengan bimbingan dan sokongan yang berterusan,” katanya.
Mengulas mengenai peningkatan nilai tambah produk koperasi, beliau berkata, sehingga kini lebih 112 Stock Keeping Unit (SKU) produk koperasi telah diberi nafas baharu melalui program reka bentuk pembungkusan.
“Ia sekali gus memperkukuh jenama koperasi dan meningkatkan daya saing produk koperasi tempatan di pasaran,” ujar beliau.
Dalam aspek pensijilan halal pula, Angkasa sangat proaktif membantu koperasi mematuhi piawaian industri makanan dan perkhidmatan halal.
“Sejak tahun 2020 hingga 2024, sebanyak 30 program pembangunan pensijilan Halal telah dilaksanakan melibatkan 30 koperasi di seluruh negara, dengan 148 SKU produk berjaya memperoleh status halal atau dalam proses kelulusan,” katanya.
Sementara itu, Johari berkata, potensi koperasi amat besar, lebih-lebih lagi apabila jumlah keahliannya kini telah mencecah lebih 7.2 juta orang di seluruh negara.
Menurut beliau, dengan kekuatan keahlian yang luas dan struktur yang sedia ada, koperasi mampu menawarkan perkhidmatan kepada rakyat secara terus serta membantu menurunkan harga barangan di peringkat komuniti.
“Saya tekankan bahawa koperasi boleh membantu rakyat meringankan beban mereka, khususnya dengan menyediakan barangan pada harga lebih rendah. Bila koperasi wujud di semua peringkat termasuk di kampung-kampung, ini akan membantu mengawal harga barang,” katanya.
Johari dalam masa sama menyarankan agar koperasi turut memanfaatkan potensi sektor pertanian sebagai salah satu cabang baharu menjana pendapatan dan bekalan makanan.
Ujarnya, antara tanaman yang boleh diberi perhatian termasuk ubi kayu dan pelbagai hasil pertanian lain yang kini mendapat permintaan tinggi.
“Koperasi boleh jadi pemangkin untuk memperbanyakkan pengeluaran produk pertanian tempatan. Ini peluang depan mata yang boleh dimulakan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Fattah berkata, Mesyuarat Agung Perwakilan Angkasa ke-39 (MAPA 39) meluluskan peruntukan sebanyak RM255 juta bagi melaksanakan sembilan projek perniagaan berimpak tinggi yang bakal memberi manfaat besar kepada warga koperasi dan rakyat keseluruhannya.
Menurutnya, antara projek utama yang diluluskan termasuk pemilikan institusi bank digital koperasi, inisiatif keterjaminan makanan, pembangunan perumahan mampu milik koperasi dan pembangunan produk tenusu.
“Kita mahu koperasi bukan sahaja terus kekal relevan, malah menjadi pemain utama dalam sektor ekonomi kritikal seperti keterjaminan makanan, perkhidmatan kewangan digital dan penyediaan perumahan rakyat.
“Peruntukan RM255 juta ini diluluskan untuk melonjak potensi koperasi ke tahap lebih kompetitif dan lestari,” katanya.
Mesyuarat tahunan itu turut menyaksikan sebanyak 4,898 perwakilan koperasi dari seluruh negara berhimpun bagi membincangkan pelbagai resolusi penting, hala tuju gerakan koperasi nasional dan pelan tindakan strategik dalam memperkukuhkan kedudukan koperasi di peringkat domestik dan antarabangsa.
Dalam mesyuarat sama, dua jawatan tertinggi turut dipertandingkan iaitu Presiden dan Timbalan Presiden Angkasa.
Abdul Fattah berjaya mengekalkan jawatan Presiden selepas meraih sokongan majoriti perwakilan, manakala Profesor Madya Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dipilih sebagai Timbalan Presiden Angkasa bagi penggal 2025 hingga 2028.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

