Malaysia Hindu Sangam terima permohonan maaf tiga penyampai radio Era FM

SHAH ALAM - Malaysia Hindu Sangam (MHS) menerima permohonan maaf tiga penyampai radio Era FM berhubung video yang dikatakan mempersenda upacara Thaipusam kavadi hingga mencetuskan pelbagai kontroversi.
Menurut Presidennya, T Ganesan, personaliti dan pencipta kandungan seharusnya lebih peka dan sensitif apabila berkongsi sebarang hantaran di media sosial bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini.
“Isu berkaitan sensitiviti agama perlu diberi perhatian serius kerana ia boleh menjejaskan keharmonian antara kaum di negara ini.
“Kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum. Justeru, setiap individu mesti lebih berhati-hati ketika memuat naik kandungan video di media sosial terutamanya berkaitan agama dan budaya,” katanya pada Khamis.

Selasa lalu, penyampai radio bagi segmen 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir memohon maaf susulan kontroversi didakwa mempersenda tarian kavadi Hindu.
Selain memohon maaf, pengurusan stesen radio terbabit turut menggantung tugas tiga pengacara radio berkenaan sehingga siasatan selesai.
Susulan itu, Kementerian Komunikasi mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menjalankan siasatan terperinci mengenai kes terbabit.
Bukan itu sahaja, ketiga-tiganya termasuk tiga lagi kakitangan stesen radio berkenaan diarah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk memberikan keterangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!