Penduduk gesa baiki jalan terhakis sebelum ada nyawa terkorban

Penduduk rumah kilang di Felda Panching Utara, Kuantan bimbang keselamatan mereka terancam apabila jalan utama di kawasan itu berisiko runtuh akibat hakisan.
Penduduk rumah kilang di Felda Panching Utara, Kuantan bimbang keselamatan mereka terancam apabila jalan utama di kawasan itu berisiko runtuh akibat hakisan.
A
A
A

KUANTAN – Penduduk di kawasan rumah kilang di Felda Panching Utara di sini bimbang keselamatan mereka terancam apabila jalan utama di kawasan itu berisiko runtuh akibat hakisan yang berlarutan sejak dua tahun lalu.

Difahamkan, hakisan bermula sedikit demi sedikit namun sejak April hingga Julai tahun ini, keadaan menjadi semakin kritikal sehingga menjejaskan laluan harian mereka.

Penduduk, Siti Aminah Arifin, 57, berkata, sebahagian jalan telah runtuh menyebabkan laluan semakin sempit berbanding sebelum ini.

Papan tanda peringatan turut dinaikkan supaya penduduk sentiasa berhati-hati ketika melalui laluan berkenaan.
Papan tanda peringatan turut dinaikkan supaya penduduk sentiasa berhati-hati ketika melalui laluan berkenaan.

Menurutnya, kini hanya sebuah kenderaan sahaja boleh melalui jalan itu pada satu-satu masa.

“Keadaan jalan memang teruk, berlubang besar, separuh jalan cuma muat tayar kereta saja, hendak berselisih pun tidak boleh.

“Kami risau lori buah sawit lalu sebab kenderaan berat boleh menyebabkan tanah terus runtuh.

“Kami cuma mahu pihak berwajib turun tengok keadaan jalan ini sebelum ada yang jadi mangsa,” katanya ketika ditemui di Felda Panching Utara pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan Sinar Harian mendapati sebahagian besar bahu jalan telah mendap dan retak, manakala kesan hakisan jelas kelihatan pada cerun tebing di lokasi berkenaan.

Jasnishah Jaafar, 50, yang menetap di kawasan itu hampir 11 tahun mendakwa, masalah tersebut telah diadukan kepada pihak berkaitan sejak empat bulan lalu, namun tiada sebarang tindakan diambil.

Keadaan hakisan yang menyebabkan jalan rosak mengundang kegusaran penduduk.
Keadaan hakisan yang menyebabkan jalan rosak mengundang kegusaran penduduk.

Menurutnya, kini jalan utama terbabit semakin rosak dan berlubang akibat hakisan tanah di kawasan tersebut.

“Kalau boleh, ambil tindakan segera... jangan tunggu sampai ada nyawa yang melayang baru hendak baiki.

“Jalan ini bukan penduduk sini saja guna, peladang dan lori sawit pun lalu hari-hari. Baru-baru ini jentolak dan lori berat masuk, lagi cepat rosak,” luahnya.

Senada dengannya, Sharifah Fadilatul Natrah Syed Hassan, 35, berkata, tiada laluan alternatif menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan jalan berisiko itu setiap hari.

“Jalan ini satu-satunya untuk kami keluar masuk hantar anak ke sekolah, pergi kerja dan ke hospital. Kalau runtuh, habis kami terputus hubungan.

“Bila hujan lebat, memang kami risau tanah runtuh sikit-sikit. Kalau malam, lagi bahaya, bukan apa, takut tiba-tiba runtuh,” katanya.

Sementara itu, Aliya Zainal Abidin, 38, mengakui hampir terbabas ketika memandu pada waktu malam kerana jalan semakin sempit dan gelap.

“Kami takut kalau berlaku kemalangan atau kematian. Budak-budak muda pun bawa motosikal laju, bila berselisih memang menakutkan.

“Kalau boleh, pihak bertanggungjawab tolonglah baiki cepat sebelum ada yang jadi korban,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!