132 peserta tabligh jalani saringan Covid-19 di Kelantan

Jabatan Kesihatan Kelantan berjaya mengesan 132 individu di negeri itu yang menyertai himpunan tabligh di Masjid Seri Petaling penghujung Februari lalu. - Foto sumber internet Gambar kecill: Dr Zaini
Jabatan Kesihatan Kelantan berjaya mengesan 132 individu di negeri itu yang menyertai himpunan tabligh di Masjid Seri Petaling penghujung Februari lalu. - Foto sumber internet Gambar kecill: Dr Zaini
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Kelantan sudah mengesan 132 ahli tabligh yang terlibat dalam perhimpunan di Masjid Seri Petaling penghujung Februari lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Husin dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan seramai 42 dikenal pasti bergejala dan bergejala ringan manakala 90 tidak bergejala.

"Daripada 42 itu, tiga kes dimasukkan ke wad manakala 39 lagi hanya bergejala ringan.

"39 orang yang bergejala ringan dan 90 yang tidak bergejala dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu 70 orang menjalani pengawasan di Pusat Latihan Tumpat manakala 59 lagi di rumah masing-masing," katanya.

Menurutnya, status penyakit tersebut kini meningkat secara mendadak di seluruh negara ekoran kejadian kluster dalam kalangan kumpulan tabligh yang mengadakan perhimpunan pada 27 Februari hingga 2 Mac lalu.

Beliau berkata, hanya kes yang memenuhi kriteria kemasukan wad sahaja yang akan ditahan di hospital manakala yang bergejala ringan dan tidak bergejala dibenarkan menjalani pengawasan di rumah.

Selain itu, sempena musim cuti sekolah yang bermula minggu ini, masyarakat terutama yang mengalami batuk, selesema, demam dan sesak nafas dinasihatkan berada di rumah.

"Kita tidak menggalakkan mereka menghadiri tempat tumpuan awam seperti kenduri, pusat membeli-belah dan melakukan sebarang perhimpunan.

Artikel Berkaitan:

"Tidak digalakkan juga untuk bersalam dengan tetamu dan boleh digantikan dengan meletakkan tangan di dada sebelah kiri. Sekiranya bergejala, anda dinasihatkan berada sekurang–kurangnya satu meter apabila berhadapan dengan tetamu.

"Masyarakat juga dinasihatkan menjaga kebersihan diri dan kerap mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan sanitizer," katanya.