Kilang terbakar punca asap, bukan daripada tapak sampah haram - MP Bangi

Tangkap layar aduan penduduk menerusi yang mendakwa terpaksa hidu bau asap setiap hari dan kenyataan Syahredzan menerusi Facebook pada Jumaat. Gambar kecil, Syahredzan.
Tangkap layar aduan penduduk menerusi yang mendakwa terpaksa hidu bau asap setiap hari dan kenyataan Syahredzan menerusi Facebook pada Jumaat. Gambar kecil, Syahredzan.
A
A
A

 

KAJANG - Aduan penduduk setempat berhubung masalah asap yang menyelubungi beberapa kawasan sekitar Bandar Baru Bangi sejak Khamis lalu berpunca daripada kebakaran sebuah kilang di Semenyih.

 

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, asap tersebut bukan berpunca daripada tapak sampah haram di Sungai Tangkas seperti yang didakwa.

 

"Saya ada dapat aduan tentang asap dan bau dari semalam (Khamis). Untuk makluman semua, asap dan bau ini daripada kebakaran kilang yang terjadi di Semenyih dan bukan tapak sampah haram di Sungai Tangkas.

 

"Tiada laporan kebakaran di tapak sampah haram semalam. Saya dimaklumkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bahawa setakat ini api belum padam sepenuhnya di kilang yang terbakar.

 

Artikel Berkaitan:

"Cuaca semasa membawa asap dan bau ke beberapa kawasan dan ini yang menjadi asas aduan. JBPM maklumkan bahawa mereka sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran kilang tersebut," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

 

Sebelum ini dilaporkan, sebuah kilang kitar semula di Jalan Bangi Batu 1, Semenyih Teknologi Park musnah hampir 70 peratus dalam kejadian kebakaran.

 

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.33 pagi Khamis.

 

Menurutnya, seramai 37 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih serta bantuan BBP Bangi, BBP Pandan Indah, BBP Kajang serta BBP Mantin dikejarkan ke lokasi kejadian.

 

Sementara itu, dalam hantaran lain di Facebook, beberapa penduduk setempat mengadu berhubung masalah asap yang didakwa berpunca dari sampah haram di kawasan sekitar terbabit dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!