Kebakaran Putra Heights: Taklimat khas kepada MP, ADUN Selangor Isnin ini

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Satu sesi taklimat khas berhubung isu letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights akan dilaksanakan kepada semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor pada Isnin ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, taklimat itu akan dibuat khusus kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti kerajaan atau pembangkang.

"Semasa sesi taklimat Rang Undang-Undang (RUU) serta sesi 'Pre-Council' bersama ADUN Selangor semalam (Khamis), saya telah mengarahkan satu taklimat khas diadakan melibatkan semua wakil rakyat pada Isnin ini.

"Selain itu, saya telah memohon kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San agar dapat memberi ruang kepada pihak kerajaan untuk memberi penerangan berhubung isu sama dalam sesi DUN akan datang.

"Kerajaan negeri berdiri atas prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan akauntabiliti. Kita menjunjung penuh prinsip dan mandat rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini dilaporkan, insiden letupan itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.

Selain itu, ramai mangsa turut dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut, namun pihak polis dan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan bahawa tiada kematian berlaku.

Laporan akhir hasil siasatan mendapati kebocoran dan kebakaran paip gas di Putra Heights berpunca daripada tanah lembut dan lembap di bawah laluan paip bertekanan tinggi yang gagal menyokong strukturnya.

Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Husdin Che Amat berkata, siasatan menyeluruh selama hampir tiga bulan mendapati kegagalan struktur paip tidak disokong sepenuhnya oleh tanah.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, isu keselamatan infrastruktur utiliti bawah tanah dan prosedur pemantauan telah mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak berpuas hati dengan laporan berkenaan.

Berikutan itu, sidang DUN Selangor yang bakal bermula Isnin ini dijangka akan membincangkan pelbagai isu penting dan strategik termasuk insiden letupan paip gas di Putra Heights dalam kejadian pada 1 April lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!