Lelaki ceroboh landasan, tren laluan Kelana Jaya tergendala

PETALING JAYA - Perkhidmatan tren di Laluan Kelana Jaya kembali beroperasi seperti biasa pada jam 10.22 pagi tadi selepas mengalami gangguan sementara susulan insiden pencerobohan landasan di Stesen Subang Alam.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), selaku pengendali perkhidmatan rel Rapid KL, dalam kenyataan memaklumkan insiden berlaku pada jam 8.02 pagi apabila seorang penumpang dipercayai menceroboh masuk ke kawasan landasan.
"Pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digerakkan ke lokasi sejurus menerima laporan daripada pihak operasi Rapid Rail.
"Mangsa berjaya diselamatkan dalam keadaan cedera parah dan telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk menerima rawatan lanjut," menurut kenyataan itu di laman Facebook Rapid KL.
Pihak polis kini menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian tersebut, dan Rapid Rail memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan.
Sebarang perkembangan mengenai operasi tren akan dimaklumkan melalui laman media sosial Rapid KL serta pengumuman di stesen-stesen terlibat.
Rapid Rail turut memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan menghargai kesabaran serta kerjasama para penumpang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

