Raja Muda Selangor berkenan berbuka puasa di Kolej Komuniti Kelana Jaya

PETALING JAYA - Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menghadiri majlis berbuka puasa dan solat maghrib bersama pelajar serta kakitangan Kolej Komuniti Kelana Jaya pada Selasa.
Keberangkatan tiba baginda ke program Iftar Kasih Ukhwah anjuran Yayasan TZA disambut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Dalam majlis tersebut, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan 160 kotak makanan daripada Yayasan TZA bagi menyokong inisiatif kolej dalam menyediakan bantuan makanan kepada pelajar yang memerlukan.
Selain itu, Raja Muda Selangor juga berkenan menyampaikan dua unit komputer riba untuk kegunaan pelajar bagi meningkatkan peluang pendidikan berkualiti serta menyampaikan sumbangan buah tangan Syawal dan duit raya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul yang juga Penasihat Yayasan TZA dalam sembah ucapannya berkata, generasi muda memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi Malaysia ke arah industri berteknologi tinggi dan pembuatan maju, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
"Kami juga ingin menggalakkan semangat keusahawanan dan inovasi dalam kalangan pelajar bukan sekadar menjadi pekerja yang mahir tetapi juga menjadi pencipta peluang ekonomi baru.
Dalam konteks ini, kursus-kursus sepanjang hayat yang ditawarkan di kolej ini memastikan kita mempunyai asas dan kemahiran untuk sentiasa kekal relevan dalam pasaran kerja yang dinamik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
